"Sya terfikir nak baca artikel ni dan rasa nak tampal dalam bilik anak sya tapi anak akan merasa sesuatu yg pelik pulakkk apasal sya tetiba nak tampal artkel ini dalam bilik anak.......biasalah naluri seorang ibu geram tak terperi kadang-kadang dalam mendidik anak dirumah yg dirasai sungguh mencabar minda dan kalbu....so jom lah sesiapa nak baca artikel bawah ini.....apa yg menyebabkan anak kita dirumah jadi begitu ?????"
===============================================
Konsep Diri Remaja
Kadangkala
ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam
remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh
anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan
zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak
tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan
zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada
remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah
diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers
(1985) menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja
ialah:
a. Perubahan
pada fizikal
Bagi
anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada jasmani di mana anggota
badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula
menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada membesar,
pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir
remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga
rangsangan seksual yang mula meningkat.
b. Perubahan
Emosi dan Fikiran
Di
peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak
lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh
ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan tanpa
dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam remaja, ia
mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba
sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa
yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan
kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk
mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik
nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian,
berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam
pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang
yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular,
pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau
sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh
remaja itu.
c. Narcisma
Narcisma
adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih
sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di
arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai
remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian
(Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan
memperluaskan rakan sosial yang sesuai.
Narcisma
amat kuat wujud pada gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya
bersifat pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya
keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti
bercinta dan faktor tukar pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi
gadis remaja lebih dulu terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan
remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.
Jika narcisma ini digunakan secara positif maka
remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain.
Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri
yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan
memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah,
mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.
Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih
mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.
d. Menyertai Kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran remaja telah
mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka
memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau
membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup
yang sama atau taraf sosial yang sama.
Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja
mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang
pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja
dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang
sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam
kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam
aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.
Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering
mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha
memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.
e. Menentang
Kekuasaan
Orang tua-tua kita selalu
mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang
mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya
remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa
terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar
pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan
mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga
diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku
perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak
nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang
lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang
dewasa lakukan. Sebenarnya pencarian konsep
diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula
kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan
emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan
sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep
diri kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus
mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri
berjalan lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan
hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan
Berdasarkan pandangan Islam
dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh
dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama :
Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di
rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan
keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di
bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah
rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka
kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri.
Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status
ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan
terbiar.
b. Kehidupan
ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu
bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan
keluarga.
d. Rumahtangga
yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar
Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor
Peribadi Yang Kotor.
Peribadi yang kotor adalah
merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang
keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran,
sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah
dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan,
hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi
yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila
anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak
telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga :
Faktor sekolah.
Sekolah merupakan tempat
memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah
yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah
yang longgar.
b. Ibu
bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru
tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat :
Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah
merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang
menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan
seksual.
Aktiviti faktor
persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan
konsert rock
ii) Pusat-pusat
video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan
bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran
gambar lucah
vi) Penubuhan
pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti
simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan
Persoalan
yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah
terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan remaja.
Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul
bertujuan membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan
agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha
meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan
semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”
(Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara
yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang
dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya
untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)
Sejarah Rasulullah s.a.w.
membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu
kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia.
Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan
dan kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:
PERTAMA: Kaedah Pendidikan
Hati
Sebagaimana kita ketahui
bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang
selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing
untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh
manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia.
Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia
dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan
Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia
sama ada baik atau buruk, betul atau salah.
Penemuan Frued itu adalah
menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w.
bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad
manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh
badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Hati itu sesuatu yang ada
di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan
sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan
mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti
hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat
langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya)
lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan
hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan
hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa
orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).
Zikir-zikir yang paling
baik diamalkan ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla
billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini
dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala
yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk
membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik
kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada
aktiviti terpuji yang lain.
KEDUA: Kaedah Menghayati
Ibadat Khusus
Ibadat khusus seperti
sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan
melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat
khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan
akhlak manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang
itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”(Surah
Al-Ankabut:45) Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah
orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap
senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan
berikut:
a. Rasulullah
s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada
masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat
Jibril;
b. Rasulullah
s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak
menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu
Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji
tanpa segan silu.
c. Rasulullah
s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu
dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila
anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk
mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau
membahayakannya.
d. Sembahyang
adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat
sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.
KETIGA: Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk
kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan
mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil,
membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi
individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah
peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam,
sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga
satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus
keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari
badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di atas
menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa
sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat
perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang
buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”
Roh-roh manusia menjawab:
“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi
saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)
Kesan dialog perjanjian ini
ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara
untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah.
Allah mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah
adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah
berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat
(Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang
yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu)
beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)
Kemahiran Keibubapaan
Al-Quran dan Hadis telah
memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam
pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai
pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran
tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam
ialah:
a. Ibubapa
hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap
lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan,
maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c. Ibubapa
jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi
sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah
Al-Baqarah:233)
d. Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka
yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan
Al-Hakim)
Berdasarkan pandangan Islam
dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu
dikuasai oleh ibu bapa ialah:
a. Model
Ibu bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah
merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih
adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah
Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah
pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting
adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih
kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik.
Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak
mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah
ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak
mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya
lemah, kawalan hatinya juga lemah.’
Ibu bapa yang salih adalah
ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk
mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam
rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat
tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk
menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan
melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong,
beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat
cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.
b. Mendisiplinkan
Anak Dengan Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk
kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu.
Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa
yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan
kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan
merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan
kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa
lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan
sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada
masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan
sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.
c. Terima Anak Tanpa
Syarat
Walau si anak jahat
sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat
ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila
anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam
kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak
pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang
cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang
bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan
suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untukmeluahkan perasaan
kepada ibu bapa;
ii) Minta
si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang
berlaku;
iii) Mendengar
dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan
gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;
iv) Meminta
anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan
cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan
v) Jika
didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa
boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan
yang tidak diingini itu.
d. Memenuhi
Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya
atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah
dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan
anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian
dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan
bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi
meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk
memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama,
membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu
bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud
perasaan saling hormat antara satu sama lain.
e. Peka
terhadap Pergerakan Anak
Ibu bapa perlu bijak
membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi
gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan
oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan
sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen
pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;
iii. Tingkah
laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan
anak membezakan perkara yang baik dan buruk;
v. Siapakah
lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan
vi. Keupayaannya
untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting
untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat
jahat.
f. Jangan
Salah Guna Kuasa
Dalam
proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan
rasa di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian,
kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana
masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam
hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari
kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan
anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan
yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak.
Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan
bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Kesabaran
Satu
lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak
walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza.
Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak
kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam,
kesabaran adalah salah satu tanda beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan
Kaunseling
Abu Said al-Khudri
meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya.
Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya
kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari
seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah
menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai
99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’.
Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian
dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah
membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu
menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah
dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong
kamu kerana penduduknya jahat.” Maka berangkatlah orang itu
ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua
Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan
orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat,
manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian
turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh
kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati
berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah ini
ialah:
a. Kesilapan memberi
bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana
gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;
b. Bergaul atau
tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan
c. Taubat orang
tersebut diterima Allah.
Hidayah Allah
Hidayah Allah adalah juga
faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh
a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah
s.a.w. gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah
berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai
Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau
kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih
mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)
Walau
bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar
ayat-ayat
al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal
dengan perangai jahiliyahnya.
Manusia adalah sebaik-baik
kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan
pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya
salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan
pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila
salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat
petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada
Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan
Allah yang lain.
Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu
bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak.
Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak
ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi
menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi
alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan
keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu
menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya
boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu
kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang
diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan
pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu
bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata
sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu
menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula
peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang