01 April 2013

Bila nak bersara ???


Haruskah saya bersara ataupun tidak...itu bukan lagi suatu pilihan! Bagi kebanyakan populasi yang bekerja, usia persaraan mandatori sudah ditetapkan, tidak kira sama ada anda sudah bersedia ataupun tidak. Tinjauan bebas yang dijalankan baru-baru ini mendapati bahawa lebih sepertiga daripada rakyat yang sedang menghampiri fasa persaraan, mempunyai keyakinan diri yang kurang berbanding setahun yang lalu. Ini selaras dengan petikan Chris Farrel yang berbunyi "Paling menakutkan ialah apabila kita kehabisan wang. Itulah perasaan gerun yang dirasai setiap pesara.” – pengarang buku "Right on the Money: Taking Control of Your Personal Finances,"

Nilai-semula Sasaran

Ada kalanya, kita perlu bersikap realistik mengenai sasaran kita. Jika unjuran menunjukkan dana tidak cukup untuk menampung gaya hidup tertentu semasa persaraan, perubahan yang wajar perlu dibuat kepada pelan asal. Ini sebenarnya soal mengenai jangkaan dan berasa puas hati dengan apa yang kita miliki.

Mengecilkan saiz Rumah

Ada kalanya mengecilkan saiz rumah anda merupakan pilihan yang baik untuk menghasilkan wang tambahan untuk dana persaraan. Jika cuma anda dan pasangan anda tinggal di rumah tersebut, yang kini terlalu besar, anda boleh menjualnya dan menggantikannya dengan rumah lebih kecil. Wang lebihan yang diperoleh daripada jualan rumah lama, selepas membeli rumah yang lebih kecil, boleh ditambahkan kepada dana persaraan anda. Anda juga mungkin mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan kejiranan yang tidak begitu mahal atau ke kota/negeri lain untuk mendapatkan wang tambahan. Ini juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian sekiranya anda berpindah ke tempat yang mempunyai kos saraan yang lebih rendah.

Libatkan Diri dalam Pekerjaan / Perniagaan Selepas Bersara

Di sini, anda sama ada mahu bekerja atau terpaksa bekerja! Ada kalanya kita tiada pilihan tetapi untuk terus bekerja. Dengan melibatkan diri dalam pekerjaan selepas bersara atau memulakan perniagaan sendiri, ini boleh membantu dalam dua cara. Pertama, anda mempunyai tempoh pengumpulan dana persaraan yang lebih panjang dan kedua, tahun-tahun persaraan disingkatkan. Namun begitu, anda masih terlalu muda untuk bersara pada umur 55 tahun!

Optimumkan Keistimewaan Warga Tua

Sebagai masyarakat yang prihatin, negara kita menawarkan warga tua banyak keistimewaan dan diskaun atas barangan dan perkhidmatan termasuk tambang penerbangan, tren dan LRT, wayang, penginapan hotel ke tawaran-tawaran hebat di pusat membeli-belah. Semakin banyak syarikat memberikan insentif untuk mengguna pakai segmen pasaran senior, sebagai suatu tanggungjawab sosial dan juga untuk memanfaatkan pasaran sasaran yang menguntungkan bagi perniagaan mereka.

Anda perlu berbelanja secara bijak, tetapi ini tidak bermakna anda perlu mengurangkan nikmat-nikmat hidup dengan bersikap terlalu konservatif. Pada peringkat awal persaraan, anda perlu berhati-hati dan jalani gaya hidup yang seimbang.

Walaupun wang menjadi suatu keperluan dalam dunia hari ini, tapi wang bukanlah segala-segalanya!) Jangan jadikan wang sebagai matlamat asas hidup anda. Kesihatan, keluarga dan kesejahteraan rohaniah juga merupakan unsur-unsur penting yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih sempurna. Kita harus kerap menderma dan membuat sumbangan, dari segi masa dan wang, kepada mereka yang kurang bernasib baik. Amatlah penting untuk mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan kita agar kehidupan ini penuh bermakna. Pendek kata, bagaimanakah anda mahu dikenangi!

Tiada ulasan: