MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah s.w.t
dan Rasulullah s.a.w. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya
boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan
angkuh. Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.
Memang benar ada yang mengatakan ‘aku sudah meletup, memang aku tak
boleh buat apa-apa.’ Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri
sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain.Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal
membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang
tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata.Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang
akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama
kawan atau anak mengherdik ibu bapanya.Allah s.w.t berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu (Allah ) perintah,
supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
“Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai
kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau
berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun).” (Surah
al-Israk ayat 23).Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih
lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula
marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan
berprasangka buruk sesama sendiri.Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan.Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah.
Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang
baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada
manusia.Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan
kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan
dizalimi serta dicerobohi haknya.
Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada
tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok
ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati.Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada
menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan
perasaan marah yang tiada taranya.
Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu
dijaga. Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan
‘pintas’ iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah
tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan
hubungan persaudaraan.Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan,
sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan
perasaan marah berkenaan.Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat
pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu
perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga
terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman
kecederaan dan bunuh kepada individu lain.Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang
yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah, ada seorang lelaki
berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan
marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan.
Namun baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).
Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan
diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap
itu.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah
secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada
kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung?
Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang
demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri
atau sujud kepada Allah).” (Riwayat al-Tirmidzi).Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan
daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air.
Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera
berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat
menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat
menyejukkan muka dan anggota badan kita yang ‘membara’ akibat marah itu.Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu
marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu
daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud).
Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan
mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda
bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat
al-Bukhari).Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan.
Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu.Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih
kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan
apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap
mereka), mereka memaafkannya.” (Surah al-Syura ayat 37).
Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan