Berlindung di Darul Insyirah
DEWASA ini kesibukan adalah kekangan utama yang dihadapi oleh kita semua, golongan mereka yang bekerja. Pagi-pagi lagi terpaksa keluar ke tempat kerja manakala lewat petang atau malam baru balik ke rumah. Sekiranya masih mempunyai ibu dan bapa yang sudah tua, pada waktu ini masalah besar yang dihadapi adalah ketidaksanggupan mereka untuk meninggalkan warga emas berkenaan berseorangan kerana khuatir pelbagai perkara buruk yang menimpa. Ini termasuklah kecederaan, kebakaran dan sebagainya apatah lagi sekiranya warga emas yang ditinggalkan itu mengalami masalah ingatan.
Jika diletakkan di bawah pengawasan pembantu rumah mungkin tidak serasi begitu juga dengan pengawasan cucu atau sebagainya, justeru menjadikan ramai warga emas yang terbiar atau terabai semakin bertambah akibat kadar hayat orang tua makin panjang. Di sinilah fungsi Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, yang ditubuhkan dalam usaha membangunkan sebuah rumah penjagaan orang-orang tua beragama Islam dengan menyediakan pelbagai kemudahan, keselesaan dan menjamin kesejahteraan dan kebajikan kehidupan warga emas. Bukan itu sahaja, menurut Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas merangkap Pengerusi Darul Insyirah, Asral Widad Ahmad Asnawi, pusat jagaan ini juga bertujuan untuk merangka dan melaksana program pendidikan yang dapat meningkatkan maruah, harga diri dan kualiti hidup warga emas dalam masyarakat.
Pada masa sama ia turut menjalinkan program kerjasama dengan masyarakat dan individu bagi memajukan potensi warga emas agar mereka terus aktif dan produktif. "Rumah penjagaan warga emas yang terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor ini dikendalikan di bawah Yayasan Ikhlas, dengan cara jagaan harian, jagaan mingguan atau bulanan. "Darul Insyirah ditubuhkan secara rasmi pada 1 September 2013, mempunyai enam bilik, empat bilik air, dapur kering dan dapur basah, ruang tamu, gazebo serta laman yang besar dan indah dengan keluasan rumah 10,000 kaki persegi.
"Setakat ini masih baharu dan hanya terdapat tiga warga emas di bawah jagaan rumah ini yang boleh memuatkan sehinggakan 15 penghuni dan sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Pusat ini kami buka untuk menempatkan warga emas wanita sahaja dan sekiranya ada permintaan akan dibuka pula pusat jagaan warga emas lelaki," kata Asral Widad.
Pengambilan berbeza
Katanya, kriteria pengambilan penghuni rumah ini adalah berbeza dengan rumah-rumah penjagaan warga emas yang lain kerana di sini bukan tempat untuk meletak atau membuang warga emas. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai tempat jagaan dan anak-anak harus juga bertanggungjawab untuk mengambil ibu mereka semula sebagaimana dijadualkan. "Bagi anak-anak yang berkemampuan akan dikenakan sedikit bayaran sebagai bayaran bulanan, manakala yang sebatang kara atau kurang mampu akan dicarikan dana atau anak angkat, untuk menampung kos hidup mereka di sini," jelasnya.
Dalam pada itu seorang lagi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas, Siti Nadzrah Sheh Omar yang juga Bendahari Darul Insyirah bekata, setakat ini ada anak-anak yang meletakkan ibu mereka untuk penjagaan harian, iaitu menghantar ibunya pada waktu pagi dan mengambil semula pada lewat petang.
Bagi yang tinggal jauh, mereka akan menghantar ibu mereka pada pagi Isnin dan menjemputnya semula pada petang Jumaat, manakala bagi yang terlalu sibuk mereka akan menjemput ibu mereka sebulan sekali. Itu semua adalah peraturan di sini yang mana telah termaktub dalam syarat-syarat yang telah dipersetujui ketika ditemuduga sebelum penghantaran dilakukan.
Bermakna ketika temuduga sekiranya ada salah seorang adik-beradik yang sanggup menjaga ibu mereka, maka pusat jagaan ini tidak akan menerima warga emas itu sebaliknya menggalakkan dijaga oleh anak mereka sendiri. "Pusat jagaan ini umpama kelab untuk warga emas. Di sini kita pastikan warga emasnya sentiasa positif, produktif dan tidak murung, sebab itu kita adakan kelas agama untuk membolehkan mereka belajar. "Kelas pengajian diadakan dua jam di sebelah pagi dan 1 jam di sebelah petang dengan ustaz dan ustazah yang dijemput datang memberikan kuliah agama. "Apa yang bagusnya, kuliah agama atau pun aktiviti turut disertai oleh jiran-jiran dari Helwa seksyen 3 dan Surau Al-Umm, Sungai Ramal Dalam," kata Siti Nadzrah.
Bukan itu sahaja, warga emas di Darul Insyirah diberikan kemudahan kaunseling peribadi oleh Ustazah Norsaleha Mohd. Salleh yang merupakan konsultan agama di situ, selain pemeriksaan kesihatan oleh doktor-doktor dari I-Medik dan jururawat dari Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) Bandar Baru Bangi. "Apa yang pasti mereka di sini lebih ceria. Ada warga emas yang mula datang ke sini nampak murung tetapi sekarang sudah boleh menerima keadaan dan beraktiviti bersama, lebih ceria dan beransur-ansur memulihkan ingatan mereka ," katanya. Seterusnya Siti Nadzrah menjelaskan, pihak Yayasan Ikhlas sekarang ini sudah mengenal pasti untuk penempatan penghuni tetap warga emas iaitu di tapak wakaf Kampung Jijan, Nilai, Negeri Sembilan, tetapi itu masih dalam proses persiapan.
Di tanah wakaf itu nanti, Yayasan Ikhlas berhasrat untuk membangunkan sebuah Nursing Home yang selesa untuk warga emas yang tiada waris mendapatkan penjagaan dan pendidikan sepanjang hayat secara percuma. Apabila ditanya siapakah yang mengurus warga emas berkenaan di pusat itu, Pengurus Darul Insyirah, Nor Azeana Zakaria berkata, setakat ini mereka dijaga oleh warden yang sentiasa mengambil berat tentang diri mereka. Sekiranya terdapat permintaan bagi penjagaan warga emas yang sakit atau terlantar, kami akan salurkan ke rangkaian sahabat-sahabat kami. Pusat jagaan ini katanya, turut mendapat bantuan daripada zakat dan derma daripada orang perseorangan kerana sekiranya ditambah kepada 15 orang, dalam sebulan pusat ini memerlukan kos kira-kira RM30,000.
Bagaimanapun, pihak Darul Insyirah berhasrat untuk membeli banglo yang diduduki sekarang secara jualan wakaf kepada orang ramai agar dapat mengurangkan kos operasi bulanan. Derma atau wakaf adalah sebanyak RM200/kaki persegi untuk pembelian banglo. "Sekarang kita juga telah mendapat sedikit bantuan perseorangan berbentuk barang seperti cadar, hiasan dalaman, makanan, dan sebagainya. Pihak Darul Insyirah mengalu-alukan apa-apa bentuk sumbangan wang tunai, penajaan barangan dan perkhidmatan serta duit tidak bersih seperti dividen, keuntungan institusi perbankan konvensional untuk disalurkan pada pembangunan infrastuktur," katanya. Ketika ditanya apa yang paling menyentuh perasaannya ketika berada di pusat jagaan berkenaan, Nor Azeana berkata, ada anak-anak yang datang ke sini berjanji untuk meletak dan kemudian menjemput ibu mereka semula, namun semua itu tidak berlaku. Akhirnya mereka datang untuk mengambil semula ibu mereka kerana telah dapat satu tempat yang sesuai untuk meletakkan ibu mereka secara kekal di situ.
Mbah menjadi penyeri
Di pusat itu penghuninya berumur antara 56 tahun sehingga 87 tahun. Panggilan Mbah, adalah sinonim dengan wanita warga emas yang berusia 87 tahun ini. Mempunyai empat orang anak, Mbah masih sihat tetapi ingatannya sedikit pelupa. Setiap pagi anaknya akan menghantar ke pusat jagaan ini dan mengambilnya semula apabila petang kerana semua anak-anaknya bekerja. Mbah akan dijaga oleh anak-anaknya pada hujung minggu ataupun sekiranya ada salah seorang anak-anaknya cuti pada hari-hari biasa.
Mbah adalah penyeri di pusat jagaan ini kerana sifatnya yang ceria dan lucu. Apabila ditanya dirinya adakah dia seronok berada di situ, dia berkata seronok kerana di situ dia menerima layanan yang mesra daripada pengurusan pusat berkenaan.
Alamat Darul Insyirah: No. 4, Jalan 3/6, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Telefon: 03 8920 9661 / 012 294 1976 Facebook: MyDarulinsyirah.
Kongsi Konten di :
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga