15 Januari 2013

Hidung Berdarah dan cara mengatasinya .....


 Kehidupan sebagai seorang ibu memang banyak perkara kita kena tahu.........sebab semua perkara apa yang berlaku didalam rumah adalah tanggungjawab kita dan kita kadang-kadang bila dah asyik kepala fokus pada dunia pejabat kadang-kadang selalu secara tak sengaja bersikap sambil lewa (buat-buar tak kesah hal anak dirumah..kadang-kadang anak mangadu sakit itu sakit ini tetapi kita hanya bersikap acuh tak acuh dan buat-buat tak dengar dan apa yang kita fikir "alah sikit je tu !!!..........itulah tabiat kita yang sebenarnya dirumah dan itu juga yang menjadi hobi kita tak ambil kisah walhal perkara itu yang sebenarnya yang menjadi punca penyakit anak kita berlarutan........aku masih ingat waktu anak umur 4 tahun disebabkan dia terlalu gemar bermain di taman permaianan kanak-kanak yang berdekatan dengan rumah aku tersilap langkah apabila aku membiarkan dia bermain seorang diri dan kesempatan kerana aku tiada ditempat dia selalu bermain itu menjadi sebab utama. Hanya beberapa minit aku tinggalkan dia bermain seorang diri anak aku terjatuh dan itu menyebabkan hidungnya berdarah dan paling parah aku tiada di tempat kejadian ............tiba-tiba pintu rumah aku di ketuk orang dan apabila aku membuka pintu aku melihat anakku dalam keadaan hidung berdarah dan aku cuba merawatnya dengan cara aku sendiri tanpa membawanya ke klinik walhal klinik berdekatan dengan rumah.........timbul rasa kesal dalam benak fikiran aku kalaulah petang itu aku boleh menemani anak aku bermain seperti yang aku amalkan setiap petang setelah pulang dari pejabat tentu perkara itu tidak berlaku......."aku geram dengan sesetengah kanak-kanak yang sudah dianggap tidak sesuai lagi naik kebahagian atas tempat kanak-kanak yang bawah 5 tahun itu bermain ........mereka berlumba-lumba bermain-main seperti kanak-kanak kecil walhal dah umur 7 tahun keatas tetapi aku tak boleh menyalahkan mereka kerana di kawasan itu memang kekurang tempat bermain jadi ibu-ibu terpaksa senantiasa memastikan anak mereka selamat bermain namun aku dah tersilap langkah. Pada hari itu aku kononnya cuba mengajarnya untuk bermain seorang diri hanya untuk satu jam dan kerana satu jam itulah berlaku kecelakaan yang tidak di duga ...........YA ALLAH YA TUHANKU, ampunkan lah hambamu ini ya allah hamba tidak dapat menduga kecelakaan itu kerana itu hingga kesaat ini anakku sudah mencapai usia 13tahun kekesalan itu sukar untuk di lupakan kerana selepas kejadian itu anakku kerap berdarah hidung.....kadang-kadang disekolah kadang-kadang ketika dia bangun awal pagi hidungnya berdarah dan kadang-kadang pada waktu malam dan walaupun aku membawanya ke klinik ternyata tidak berjaya menyembuhkannnya..............dan kerana itu aku kerap membaca antara sebab-sebab lain yang juga menjadi penyebab.........so jom baca artikle di bawah yang saya ambil dari INFO KESIHATAN .........

 ========================================================================================
 
Hidung Berdarah dan cara mengatasinya .....

Faktor Hidung Berdarah | Salah satu senario yang mencemaskan ialah apabila melihat darah keluar melalui hidung atau mulut. Lebih mengejutkan ialah apabila ibu bapa melihat tompokan darah yang besar pada bantal atau cadar anak kesayangan mereka sebaik sahaja anak mereka bangun dari tidur.


Gejala hidung berdarah merupakan suatu situasi yang sering mencemaskan, sebagaimana yang sering ditonjolkan dalam drama dan filem di kaca televisyen. Apatah lagi jika hidung berdarah berlaku pada mereka yang belum pernah mengalaminya. Situasi menjadi bertambah cemas jika pendarahan berlaku dalam kuantiti yang banyak.




Pendarahan hidung sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak lelaki yang aktif bermain. Namun, gejala ini sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia. Oleh sebab itu, setiap satunya memerlukan pemeriksaan lanjut dan langkah-langkah pencegahan yang sesuai, terutamanya terhadap punca yang telah dikenalpasti.


Gejala Penyakit Hidung Berdarah
Pendarahan hidung sebenarnya ialah satu gejala atau tanda kepada sesuatu penyakit dan ia sendiri bukanlah sejenis penyakit. Ia berlaku apabila salur darah yang berada di dalam rongga hidung pecah.
Ada kalanya, ia boleh berhenti dengan sendiri di rumah, namun tidak kurang juga bilangan mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau harus dimasukkan ke wad akibat pendarahan yang banyak dan sukar berhenti.


Punca Pendarahan Hidung

Pendarahan hidung boleh tercetus akibat pelbagai punca. Ia boleh dibahagikan kepada faktor lokal atau setempat (masalah di dalam hidung) dan faktor umum atau sistemik, yang melibatkan sistem badan gagal mengawal proses pembekuan darah sewaktu pendarahan. Sungguhpun begitu, tidak kurang juga jumlah keadaan yang mana punca pendarahan itu tidak dapat dikenalpasti walaupun pelbagai kaedah penyiasatan dilakukan. Keadaan ini disebut pendarahan hidung jenis idiopatik.
Faktor-faktor lokal di dalam hidung sendiri yang boleh menyebabkan pendarahan ialah seperti trauma atau luka yang berpunca daripada kemalangan, pembedahan dan jangkitan kuman dalam hidung atau rongga sinus seperti sinusitis dan barotrauma (trauma disebabkan perbezaan tekanan dalam sinus dan atmosfera).


Benda asing yang termasuk ke dalam hidung pula, terutamanya di kalangan kanak-kanak, jika dibiarkan begitu sahaja tanpa dibuang boleh mengeras menjadi seperti batu (rhinolith). Apabila keadaan ini berlaku, bahan keras yang mempunyai permukaan kesat ini boleh mengakibatkan pergeseran dan pendarahan kepada lapisan mukosa hidung yang sensitif.

Selain itu, struktur abnormal dalam hidung itu sendiri seperti tulang tengah hidung yang bengkok boleh mencetuskan pendarahan. Walaupun ramai antara kita yang mempunyai tulang hidung tengah yang tidak lurus, namun tidak semestinya ia mengakibatkan pendarahan. Pendarahan boleh berlaku akibat bahagian yang bengkok itu tersentuh dengan bahagian hidung lain lantas menyebabkan iritasi. 

Jika pendarahan berlaku terutamanya di kalangan orang dewasa atau golongan di usia emas, ketumbuhan dalam hidung adalah salah satu daripada puncanya. Biasanya pendarahan yang berpunca daripada ketumbuhan ini akan disertai dengan gejala-gejala lain seperti tersumbat sebelah hidung, kesakitan dalam rongga hidung, kebengkakan pada kelenjar limfa di leher, kurang dengar pada sebelah telinga dan sebagainya.

Namun begitu, ada juga pesakit yang mempunyai ketumbuhan dalam hidung yang datang hanya dengan simptom pendarahan.


Faktor Penyumbang Hidung Berdarah
Faktor-faktor umum yang boleh menyumbang kepada gejala hidung berdarah ini adalah seperti masalah kegagalan sistem pembekuan darah di kalangan pesakit sama ada berpunca daripada penyakit hati, ginjal atau kanser yang melibatkan sel-sel darah seperti leukemia dan limfoma.


Mereka yang mempunyai masalah jantung dan mengambil ubat untuk mencairkan darah juga terdedah untuk mengalami gejala pendarahan hidung. Disebabkan itulah pesakit dinasihatkan supaya mengambil ubat dalam dos yang betul dan sentiasa patuh kepada temujanji susulan untuk pemeriksaan darah.


Tekanan darah tinggi yang kronik juga boleh menyebabkan struktur dinding salur darah menjadi lemah dan tidak tahan kepada tekanan darah lantas apabila pecah akan mengakibatkan terjadinya pendarahan.
Kajian perubatan menunjukkan salur darah mereka yang telah meningkat umurnya atau yang mengalami hipertensi kronik turut mempunyai deposit plak kolestrol (ateroskelorosis). Keadaan ini menyebabkan dinding salur darah menjadi tidak kuat untuk mengecut (vasokonstriksi) sekiranya pendarahan berlaku (untuk mengurang dan menghentikan pendarahan).
Selain itu, ada pendapat juga mengatakan bahawa faktor paras tekanan itu sendiri yang jika terlalu tinggi akan menjadikan keadaan bertambah teruk.

Jenis Pendarahan Hidung
Pendarahan hidung secara amnya boleh dibahagikan kepada 2 jenis, bergantung kepada di kawasan mana salur darah dalam hidung yang pecah.


Jenis-jenisnya ialah pendarahan hidung hadapan (anterior epistaxis) dan pendarahan hidung bahagian belakang (posterior epistaxis). Kedua-dua jenis ini agak berbeza daripada beberapa aspek. Pendarahan hidung bahagian hadapan biasanya lebih kerap berlaku, terutamanya di kalangan kanak-kanak atau golongan belia. Ia seringkali dikaitkan dengan trauma, dan kebiasaannya lebih mudah untuk dikawal atau dihentikan. Pendarahan jenis ini biasanya dapat dilihat apabila pesakit berada dalam posisi duduk. Darah akan kelihatan mengalir keluar dari bahagian hadapan lubang hidung.


Hidung berdarah bahagian belakang lebih kerap dilihat dalam kalangan mereka yang lebih berusia walaupun ia adalah sesuatu yang jarang berlaku. Salur darah yang pecah berada di bahagian belakang hidung dan ini menjadikan pendarahan jenis ini lebih sukar untuk diberhentikan. Biasanya ia dikaitkan dengan tekanan darah tinggi atau kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan pada lantai tulang tengkorak. Pesakit akan menelan darah ini memandangkan ia akan mengalir ke bahagian belakang tekak. Apabila amaun darah yang ditelan terlalu banyak, ia tidak lagi dapat ditampung oleh isipadu perut, maka pesakit akan mengalami muntah. Pendarahan hidung jenis belakang ini juga lebih meningkatkan risiko darah termasuk ke dalam paru-paru.


Tindakan Segera

Apabila berlaku situasi hidung berdarah, pesakit seharusnya bertenang dan jangan panik. Keadaan panik akan menyebabkan denyutan nadi dan tekanan darah meningkat. Ia akan memburukkan lagi keadaan. Tambahan pula, pesakit akan sukar diberi arahan dan mengikut langkah-langkah bantuan yang akan diberikan. Pesakit hidung berdarah sepatutnya tidak disuruh baring untuk berehat. Sebaliknya, pesakit harus dinasihatkan berada dalam keadaan duduk dan sedikit tunduk ke hadapan. Picit bahagian hadapan hidung dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk dan tunggu selama 5 minit.


Pesakit akan diminta bernafas melalui mulut sementara seseorang membantunya meletakkan sedikit ais yang dimasukkan dalam plastik atau bungkusan kain pada bahagian dahi. Jika keadaan mengizinkan, pesakit juga elok diberikan ketulan ais kecil untuk dikemam. Proses ini dapat menyejukkan bahagian dalam mulut serta rongga hidung dan ini dapat membantu proses pengecutan salur darah (vasokonstriksi). Sekiranya kaedah ini tidak berkesan, pesakit biasanya perlu dibawa ke klinik atau hospital yang berdekatan.


Jika perlu, pegawai perubatan akan memasukkan ‘ribbon gauze’ atau span kecil ke dalam hidung. Span ini akan mengembang sedikit dan menghalang pendarahan daripada terus berlaku. Biasanya, selepas 2 atau 3 hari, pendarahan akan berhenti dan pesakit dibenarkan pulang ke rumah. Dalam situasi-situasi yang jarang berlaku, kaedah intervensi susulan seperti menghentikan tempat pendarahan menggunakan sentuhan bahan kimia (cauterization), atau prosedur mengikat salur darah yang pecah mungkin dilakukan. Embolisasi untuk menyumbat salur darah yang berdarah juga merupakan salah satu kaedah rawatan yang berkesan.


Rawatan Susulan Hidung Berdarah

Selepas pendarahan dihentikan, biasanya pesakit akan diminta untuk datang semula bagi mengenalpasti apakah yang menjadi punca kepada episod pendarahan tersebut. Bagi mereka yang mengalami hidung berdarah di rumah, adalah lebih baik jika mendapatkan pemeriksaan di hospital terutamanya bagi kes-kes pendarahan hidung yang berulang-ulang.


Rawatan yang sebenar dan langkah-langkah pencegahan daripada terjadinya insiden yang sama adalah bergantung kepada masalah utama yang menjadi punca berlakunya pendarahan. Penyiasatan yang dilakukan termasuklah pemeriksaan hidung dengan menggunakan endoskop, pengambilan sampel darah untuk melihat masalah pembekuan darah, merawat masalah lokal dalam hidung dan seumpamanya.


Prosedur-prosedur penyiasatan ini amatlah mudah dan tidak menyakitkan berbanding dengan kesan pendarahan hidung itu sendiri yang ada kalanya boleh mengancam nyawa.



Melayukini.net - Semoga penerangan ini mampu memberikan sedikit pendedahan terhadap kes hidung berdarah. Pasti semua orang pernah merasai proses hidung berdarah, namun pastikan segera berjumpa dengan doktor sekiranya ia berlanjutan.


Sumber: Sihat Selalu | Koleksi Kesihatan & Riadah Melayukini.net