20 November 2013

Budaya Sekolah Meraikan Kejayaan 5A ...

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 telah diumumkan pada 14 November lepas. Pada tahun ini, keputusan mencatatkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun lepas. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan bagi yang kurang bernasib baik kegagalan pada hari ini bukanlah bererti anda akan gagal buat selama-lamanya.Ada dua trend sambutan keputusan UPSR yang membimbangkan penulis. Pertama, cara sambutan yang dibuat oleh pihak sekolah dan kedua, cara ibu bapa melihat kejayaan anak-anak dalam peperiksaan tersebut.Sebaik-baik sahaja keputusan UPSR diumumkan, satu majlis pengumuman diadakan di kebanyakan sekolah. Rakan-rakan penulis yang merupakan guru-guru sekolah rendah memberitahu kebiasaannya sambutan diadakan untuk meraikan para pelajar yang mencatatkan keputusan 5A.Para pelajar ini akan dijemput ke pentas bersama-sama ibu bapa masing-masing. Mereka diraikan oleh pengurusan sekolah dan guru sebagai 'wira' yang mengharumkan nama sekolah dan keluarga. Namun, bagaimana dengan pelajar yang tidak mendapat 5A? Adakah mereka juga diraikan dalam majlis tersebut?

Para pelajar yang 'gagal' mencatatkan keputusan cemerlang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak sekolah dan guru. Mereka dilayan seolah-olah telah 'mencemarkan' nama baik sekolah sedangkan pada hakikatnya ia tidak begitu.Bagaimana pula dengan reaksi ibu bapa mereka? Adakah wajar ibu bapa dan anak-anak ini 'dianaktirikan' dalam majlis tersebut? Apa akan jadi kepada motivasi mereka pada tahun berikutnya di sekolah menengah?Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa ia akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka berjaya pada masa hadapan, sedikit sebanyak ia akan meninggalkan bekas di hati mereka. Penulis berpendirian semua pelajar perlu diraikan pada hari tersebut. Dalam hal ini, pihak sekolah seharusnya memainkan peranan dengan baik. Jemputlah mereka sama-sama ke pentas atau setidak-tidaknya bergambarlah bersama-sama mereka.Semua pelajar sama ada yang cemerlang ataupun tidak adalah generasi masa depan yang akan mewarisi negara pada masa akan datang. Kegagalan mereka pada hari ini tidak perlu dijadikan ukuran bahawa harapan untuk mereka berjaya dalam hidup telah musnah.

Banyak sudah contoh di luar sana yang menunjukkan bahawa UPSR bukanlah penentu berjaya atau tidak seseorang dalam hidup. Penulis sendiri mencatatkan keputusan sangat tidak memuaskan dalam peperiksaan UPSR. Namun, berkat semangat tidak putus asa dan terus berusaha bersungguh-sungguh, penulis berjaya mencatatkan keputusan yang cemerlang semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.Begitu juga cerita usahawan korporat yang berjaya, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang berjaya membuktikan bahawa kejayaan dalam peperiksaan bukan satu-satunya faktor penentu kecemerlangan seseorang.Banyak lagi cerita tentang tokoh-tokoh korporat yang berjaya walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.Sambutan yang agak berat sebelah dibimbangi akan melemahkan semangat pelajar dan juga ibu bapa mereka. Sudah pasti ada ibu bapa yang berkecil hati jika pengurusan sekolah dan guru hanya memandang anak mereka dengan sebelah mata. Mereka pasti akan berasa tertekan. Lebih malang apabila anak-anak dimarahinya pula.

Justeru, pihak sekolah harus memikirkan semula kewajaran sambutan meraikan keputusan UPSR di sekolah masing-masing. Raikan mereka yang berjaya tetapi jangan ditinggal mereka yang kurang berjaya. Hadirkan juga mereka dalam majlis sambutan tersebut.Bagi ibu bapa pula, kejayaan anak-anak dalam UPSR bukanlah satu-satunya indeks pencapaian kecemerlangan dalam pendidikan anak-anak. Banyak lagi aspek yang harus diberi perhatian.Tiada makna jika dalam UPSR anak mencatat 5A, namun dalam aspek kehidupan lain anak-anak gagal mencatatkan keputusan cemerlang. Sama-sama kita menilai sama ada anak-anak turut mencatatkan A dalam solatnya, puasanya, akhlaknya, rasa hormatnya kepada ibu bapa dan orang yang lebih tua dan budi bahasanya. Kelima-lima perkara ini harus dijadikan indeks bagi mengukur kecemerlangan anak-anak.Anak-anak yang cemerlang yang mendapat skor 5A untuk solat, puasa, akhlak, rasa hormat dan budi bahasanya adalah anak yang cemerlang. Anak-anak yang tidak mendapat keputusan 5A dalam perkara tersebut, wajar diberi perhatian serius oleh ibu bapa. 

Ingatlah pepatah Melayu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Apabila rebung telah menjadi buluh, amat susah untuk dilenturkan. Jadi, didiklah anak berjaya dalam peperiksaan tanpa melupakan anak-anak juga harus berjaya dalam kehidupan.Pihak sekolah dan ibu bapa harus memainkan peranan dalam mendidik generasi muda Malaysia untuk membawa negara ini ke satu tahap yang lebih baik pada masa akan datang.
Majlis sambutan meraikan kejayaan murid dalam UPSR wajar dikaji semula. Sambutan yang diadakan janganlah sampai mendatangkan rasa kecil hati bagi pelajar dan ibu bapa yang tidak berjaya mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.Bagi ibu bapa pula, ingatlah bahawa anak-anak bukannya mesin peperiksaan. Kejayaan mereka tidak harus dilihat dalam satu aspek sahaja. Aspek-aspek lain seperti solat, puasa dan akhlak juga perlu dijadikan indeks pengukuran kejayaan mereka. Seimbangkanlah antara kejayaan di dunia dan di akhirat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: