15 September 2017

Halimah Oh Halimah



NAMA Halimah Yacob semakin dikenali ramai. Bukan sahaja di Singapura tetapi namanya sudah menjadi sebutan sebahagian besar masyarakat dunia termasuk pemimpin-pemimpin besar.
Ia seakan-akan menjadi satu fenomena selepas bekas Speaker Parlimen yang berusia 63 tahun itu merupakan satu-satunya calon yang diisytiharkan layak untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden republik itu oleh Jawatankuasa Pemilihan Presiden (PEC) Isnin lalu.
Dua lagi pencabar terdekat dalam kalangan kaum Melayu iaitu pengerusi sebuah firma perkhidmatan marin, Farid Khan, 61, dan ketua eksekutif syarikat hartanah, Mohamed Salleh Marican, 67, telah disahkan tidak layak untuk bertanding.
Ekoran tiada pilihan raya dilakukan, Halimah memperoleh laluan mudah dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang baharu dalam satu upacara di Istana iaitu kediaman rasmi yang turut menempatkan pejabat presiden petang semalam, sekali gus menandakan bermulanya tugas beliau sebagai ketua kerajaan bagi tempoh enam tahun.
Ia juga merupakan sejarah baharu bagi Singapura apabila wanita itu muncul sebagai satu-satunya wanita yang pernah menjawat jawatan tertinggi republik itu iaitu Presiden Singapura Kelapan. Beliau menggantikan Presiden ketujuh, Tony Tan yang telah tamat penggal perkhidmatannya pada 31 Ogos lalu.
Malah, Halimah turut menjadi orang Melayu kedua yang menjadi ketua kerajaan selepas tempoh 47 tahun. Yusuf Ishak merupakan Presiden pertama republik itu yang memegang jawatan berkenaan antara tahun 1965 hingga 1970.
“Saya adalah presiden untuk semua orang. Walaupun ini pilihan raya, saya bukan presiden terpilih,” katanya kepada para penyokong yang berkumpul di pusat pencalonan selepas Pegawai Pengembalian, Ng Wai Choong, yang merupakan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga, mengumumkan namanya sebagai Presiden Singapura yang baharu.
Dalam ucapannya, Halimah turut mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura yang menyokongnya selain turut menyeru kepada perpaduan.
“Sebagai warga Singapura, kita perlu berganding bahu bersama-sama. Kita belum mencapai tahap tertinggi, tetapi yang terbaik akan muncul tidak lama lagi.
Kehidupan
“Saya minta kita memberi tumpuan kepada persamaan yang kita ada dan bukannya perbezaan,” tambahnya.
Dilahirkan pada 23 Ogos 1954, beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik.
Jika disorot sejarah kehidupannya, beliau pernah hidup miskin selepas bapanya yang bekerja sebagai penjaga bangunan kosong meninggal dunia. Ketika beliau berusia lapan tahun keluarganya turut diusir dari kuarters kerajaan.
Sepanjang dibesarkan oleh arwah ibunya, Maimun Abdullah (yang meninggal dunia pada September 2015, beliau menyaksikan perih jerih ibunya yang terpaksa menjaja makanan dari siang hingga ke larut malam setiap hari.
Malah, di dalam kesibukan menuntut ilmu, beliau tetap menyingsing lengan membantu ibunya.
Tindakan itu menyebabkan beliau kerap ponteng sekolah kerana keletihan sehingga digelar ‘ratu ponteng’ di sekolahnya. Beliau juga hampir dibuang sekolah gara-gara tindakannya itu.
Namun, kesusahan hidup itu menjadikannya seorang yang berdaya saing dan kuat semangat untuk menempuh pelbagai cabaran hidup.
Pendidikan
Beliau memperoleh pendidikan pertama di Sekolah Perempuan Cina Singapura dan Sekolah Perempuan Tanjong Katong.
Kemudian, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Singapura dan memperoleh pengajian Ijazah Undang-Undang pada tahun 1978 sebelum menyertai Majlis Peguam Singapura pada tahun 1981.
Pada tahun 2001, Halimah menyempurnakan pengajian undang-undang di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang pada 7 Julai 2016.
Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, Halimah terlebih dahulu memulakan kerjaya sebagai Pegawai Undang-Undang di Kongres Kesatuan Sekerja Nasional dan pernah menjadi Pengarah Jabatan Perkhidmatan Undang-Undang pada tahun 1992.
Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Pengajian Buruh Singapura (kini dikenali sebagai Institut Pengajian Buruh Ong Teng Cheong) pada tahun 1999.
Karier politiknya bermula pada tahun 2001 apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) Jurong.
Semasa Pilihan Raya Umum 2011, Halimah telah dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan sebelum menjawat jawatan Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga selepas berlaku rombakan Kabinet pada November 2012.
Karier Halimah sebagai Speaker pula bermula apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mencalonkan namanya untuk menggantikan bekas Speaker, Michael Palmer yang meletak jawatan selepas terpalit dengan skandal hubungan luar nikah.
Tegas
Halimah menjawat jawatan itu pada 14 Januari 2013 dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu dalam sejarah republik berkenaan.
Pada bulan Januari 2015, beliau telah dipilih untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti.
Semasa pilihan raya umum tahun 2015, Halimah merupakan calon tunggal PAP yang bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee yang baru diwujudkan.
Dari sudut keperibadiannya, beliau seorang yang tegas dalam memperjuangkan Islam.
Beliau sangat aktif dan lantang bercakap mengenai isu Islam radikal, khususnya mengutuk serta membantah kewujudan kumpulan pengganas Islam terutamanya Daesh.
Namun, bagi membolehkan dia bertanding bagi mengisi jawatan Presiden Singapura, Halimah mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Speaker Parlimen dan Ahli Parlimen Marsiling-Yew Tee pada 7 Ogos 2017.
Pada 25 Ogos 2017, Halimah melancarkan laman web kempen rasmi yang memaparkan kehidupan dan kerjayanya serta pautan ke laman Facebooknya dan saluran YouTube baharu.
Laman web itu juga termasuk slogan kempennya Do Good Do Together yang telah dikritik oleh beberapa orang netizen.
Kini, di sebalik individu yang berjaya memahat sejarah baharu dalam pentadbiran Singapura, Halimah perlu menggalas tanggungjawab yang besar bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan republik itu sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Pengajian Dasar Singapura, Gillian Koh menyifatkan kemenangan Halimah itu sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan.
“Halimah adalah daripada golongan minoriti berganda iaitu sebagai individu Melayu Muslim dan wanita.
“Sekiranya terdapat pertandingan jawatan tersebut, ia akan menjadi lebih menarik kerana rakyat boleh membuat pilihan,” katanya.
Profesor Sains Politik dari NUS, Bilveer Singh turut senada dengan Gillian yang mahu jawatan itu diisi menerusi pertandingan.


Hakcipta terpelihara 







Dia baru nak jadi President dah start dah orang nak menyamar bukak akaun guna nama dia ..........dia lagi bijak lagi terus dia mengadu kat admint Facebook ....begitulah adat manusia gambar orang boleh digunakan utk apa sahaja ...tetapi Admid Facebook pandai ke nak block orang yang menyamar ????? .................mestilah pandai kalo tuan punya diri dah buat report tapi setakat mana dia rajin sangat nak check kat facebook orang itu ini nak menyamar ............

























Tiada ulasan: