Musafir Penerbangan dan Beberapa Permasalahannya
Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah
Perbincangan ini lebih tepat ditujukan
kepada para wanita yang hendak berwudhu' lalu di tangan atau di muka terdapat
lapisan alat-alat solek seperti pewarna kuku, bedak dan berbagai lagi. Maka
timbul pula persoalan - Adakah dibolehkan berwudhu' di atas lapisan-lapisan
solek tersebut atau adakah ia perlu dibasuh dan dihilangkan terlebih dahulu ?
Atau adakah sebarang kemudahan hukum agama terhadapnya ?
Bagi memberikan jawapan yang jelas, perhatian dibawa kepada ayat al-Qur'an yang
mensyari'atkan wudhu', iaitu firman Allah Azza waJalla: Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas
kecil), maka (berwudu'lah) iaitu BASUHLAH muka kamu, dan kedua belah tangah
kamu ;meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah
kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. [Maksud surah al-Maidah 05 -
06]. Dari ayat di atas, perkataan maka basuhlah berasal dari Bhs.
Arab - membawa maksud dalam hukum tafsir sebagai 'mengalirkan air atas
sesuatu untuk menghilangkan kotoran yang melekat padanya.'
Maka apabila kita berwudhu' , adalah
dituntut supaya setiap anggota yang wajib dibasuh itu dikenakan air yang
mengalir bagi memenuhi syarat wudhu' sebagaimana perintah ayat al-Qur'an di
atas. Termasuk dalam tuntutan ini ialah meratakan air di seluruh kawasan
anggota wudhu' tersebut. Apabila ada suatu bahagian atau kawasan yang tidak
kena air, samada kerana ia diliputi sesuatu atau kerana air tidak sampai
kepadanya maka wudhu' tersebut tidaklah sah. Pernah sekali Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam melihat beberapa orang di kalangan para sahabat yang
baru selesai berwudhu' tetapi tumit kaki mereka kelihatan kering tidak disentuh
air. Maka beliau memerintah mereka agar mengulangi semula wudhu' tersebut dan
meratakan air dengan sempurna di setiap bahagian anggota wudhu' yang wajib
dibasuh. Walaubagaimanapun berbeza hukumnya dengan pembasuhan kepala dalam
etika berwudhu'. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman dalam ayat yang sama di
atas ……dan sapulah sebahagian dari kepala kamu……. Perkataan dan
sapulah berasal dari Bahasa Arab yang mengandung erti dalam hukum
tafsir sebagai menyentuh bahagian tanpa mengalirkan air. Justeru itu
para fuqaha menyatakan bahawa pembasuhan kepala adalah menepati syarat hukum
dengan melalukan tangan yang basah di atasnya. Oleh itu apabila seseorang itu
berwudhu' dia tidak perlu membasuh kepalanya dengan air yang mengalir
sebagaimana dia membasuh muka, tangan dan kakinya.
Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan
bahawa setiap anggota wudhu' kecuali kepala perlu dibasuh dengan sempurna.
Wajib dialirkan dan diratakan air pada keseluruhan bahagiannya. Oleh itu
jikalau ada bahagian yang tidak terkena air atau terlindung di sebalik sesuatu
yang kalis air seperti lapisan solek atau krim pelembab atau minyak atau cat
atau debu tebal atau apa-apa yang seumpama maka wudhu' tersebut adalah tidak
sah. Walaubagaimanapun pengecualian diberikan kepada seseorang yang benar-benar
menghadapi kesukaran untuk menghilang sesuatu yang melekat pada mana-mana
anggota wudhu'nya. Contohnya ialah seseorang yang sedang memandu di lebuh raya
pada awal pagi lalu keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan. Dalam usahanya
untuk membetulkan semula kereta itu masuk pula waktu solat Subuh dan bekalan
air yang ada pula hanya memadai untuk dia berwudhu' dan tidak mencukupi untuk
dia membasuh kesan-kesan minyak pada tangannya. Maka dalam keadaan sebegini
yang tidak dapat dielakkan, dia dibolehkan terus berwudhu' dan bersolat seperti
biasa.
Pengecualian juga terbuka kepada
buruh-buruh kerja kasar yang tidak dibekalkan oleh pihak majikan alat-alat
penyucian untuk membersihkan diri, maka mereka dibolehkan berwudhu' dan solat
seperti biasa sekalipun anggota-anggota wudhu' mereka jelas diselaputi
kesan-kesan cat, semen, minyak tar atau lain-lain. Demikian juga bagi seseorang
yang suasana kerjaya mereka memaksa mereka memakai alat-alat solek seperti
pramugari-pramugari penerbangan, maka mereka juga dibolehkan berwudhu' dan
solat seperti biasa sekalipun terdapat pewarna-pewarna kuku atau apa-apa yang
seumpama di anggota-anggota wudhu' mereka. Kebolehan ini berdasarkan kepada
prinsip Syari'at Islam yang sememangnya memberikan kemaafan kepada seseorang
apabila dia menghadapi suasana kesulitan atau kesukaran yang benar-benar tulen
lagi tidak disengajai dan tidak boleh dielakkan. Dalil yang digunakan oleh para
ahli Usul Fiqh ialah firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam surah at-Taghabun
64, ayat 16 yang bermaksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya
upaya kamu.
Senada dengan ayat di atas adalah sabda
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Apabila aku mencegah kamu dari suatu
pekerjaan maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan
maka hendaklah kamu lakukannya sedaya-upaya." Akan tetapi kemaafan
agama berdasarkan dalil-dalil di atas hanyalah bagi seseorang yang benar-benar
sukar lagi sulit untuk mengelakkan diri daripada sesuatu yang telah ditentukan
syari'at. Oleh itu kemaafan di atas bukanlah boleh diamal-gunakan oleh setiap
orang dengan sewenang-wenangnya. Seseorang yang di atas pilihan serta
kesedarannya sendiri memakai alat-alat solek tidaklah dipandang sebagai orang
yang boleh diberikan kemaafan serta kemudahan hukum agama. Malah lebih dari itu
Islam sememangnya tidak menyokong perbuatan bersolek oleh kaum wanita di
hadapan khalayak ramai (tabaruj) dan justeru itu mustahil pula Islam
dengan mudah akan memberikan kemaafan kepada sesuatu yang sengaja menyalahi
ajarannya.
Suatu persoalan yang kuat
berhubung-kait dengan membasuh anggota wudhu' yang terhalang dari sentuhan air
adalah membasuh anggota badan yang dibalut atau disemen kerana kecederaan atau
tulang yang patah. Maka dalam hal ini bagaimanakah seharusnya seseorang itu
membasuh anggota wudhu'nya?Dalam hal ini para ahli fiqh membolehkan seseorang
itu melengkapkan ibadah wudhu'nya dengan menyapu air di atas balutan tersebut.
Sesetengah ahli fiqh lainnya mencadangkan agar orang tersebut bertayamum, iaitu
dengan mengusap kedua tangan dan muka dengan debu tanah. Pilihan kedua adalah
lebih utama jikalau kecederaan seseorang itu adalah agak berat dan dia tidak
boleh disentuhi air. Walaubagaimanapun syarat-syarat bertayamum hendaklah
diketahui terlebih dahulu dan ia akan dibicarakan dalam bab ke 7 nanti,
insya-Allah.
Sahnya wudhu' dengan menyapu di atas
balutan luka atau dengan bertayamum adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam sendiri. Pernah sekali seorang sahabat telah
tercedera berat maka bagi sahabat ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Dia cukup dengan bertayamum sahaja dan membalut kain serban
atas lukanya, kemudian menyapu di atas serbannya itu. Setelah itu dia mencuci
anggota badannya yang lain. Sekiranya kecederaan seseorang itu amat
berat dan tidak membolehkan dia bersentuhan dengan air atau debu tanah, maka
dia diharuskan berwudhu' sekadar mana yang boleh dan kemudian terus bersolat
seperti biasa. Sepertimana yang telah digariskan sebelum ini, seseorang yang
benar-benar menghadapi kesukaran yang tidak dapat dielakkan, maka dia dimaafkan
oleh syari'at dan ibadahnya tetap diterima tanpa sebarang pengurangan pahala
atau ganjaran. Solat yang didirikan adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi
semula di lain masa.
Kesimpulan
1.
Perintah wudhu'
menuntut agar setiap anggota kecuali kepala perlu dibasuh dengan air yang
mengalir serta merata pada keseluruhan anggota tersebut.
2.
Kemaafan
diberikan kepada seseorang yang benar-benar menghadapi kesukaran lagi tidak
terdaya untuk menghilang kotoran yang melekat pada mana-mana anggota wudhu'nya.
3.
Kemaafan juga
diberikan kepada seseorang yang anggota wudhu'nya dibaluti atau disemen kerana
kecederaan.
4. Kemaafan bagi dua suasana ini membolehkan seseorang itu meneruskan wudhu'nya
sesempurna mungkin dan wudhu'nya ini tetap dikira sah oleh agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan