Tips Penjagaan Enjin - KEBURUKKAN MEMANASKAN ENJIN KENDERAAN
Soalnya
sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan
apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang
mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?
Di
negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan
dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak
digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan
kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak
diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom
dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu
undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam
keadaan idling melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan.
Kenapa perkara ini ditegah?
The Canadian
Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik
untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu
persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan
enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum
meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia?
Salah seorang
jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder
berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan
kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan
efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius.
Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah bukan cara
yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika
memandunya atau dengan kata lain stylel Amerika, lagi ‘gentle’ kalau
pandu terus. Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam amalan
yang tidak betul ini.
DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat
memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura
(idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah.
Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan
dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada
dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke
dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di
dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan
mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan
api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke
bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak
pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.
PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR
Di samping itu,
tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia
akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak
berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan
mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.
PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu
pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos.
Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia
adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi
apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling),
bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan
wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan
menjadikan paip ekzos cepat berkarat.
FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kenderaan pada
masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan
Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun dah
mula guna pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan
tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin
pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah
menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan
nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang
tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi
faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran
udara dapat diminimakan.
Walaubagaimana
pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura
(idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati
dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap
suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu
yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak
menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang
kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat
dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah
memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin
dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic
Converter ini tidur dan tak bekerja. Anda rasa apa agaknya yang terjadi
kepada alam sekitar?
MEMBAZIR DAN MENCEMARKAN
Sekarang kita
sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada
tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan
alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula
kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan
enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa
enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin
sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen
yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.
Jadi apabila
kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk
memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan
beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara
ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah
dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir.
Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju
crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya
mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan
crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat? Adakah dengan
hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?
Kesimpulannya
di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama
lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi
kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up
enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti
pelanggan mengadu. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin
kereta, terus pandu cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap
boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil
sembang-sembang dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup.
Seperkara lagi
yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran
bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak
bergerak. Kalau tunggu kekasih turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut
dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan
tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu
enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh
menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran
wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan
enjin dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus
ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas
rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan