KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
2013 telah diumumkan pada 14 November lepas. Pada tahun ini, keputusan
mencatatkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun lepas. Tahniah
diucapkan kepada yang berjaya dan bagi yang kurang bernasib baik
kegagalan pada hari ini bukanlah bererti anda akan gagal buat
selama-lamanya.Ada dua trend sambutan keputusan UPSR yang membimbangkan penulis.
Pertama, cara sambutan yang dibuat oleh pihak sekolah dan kedua, cara
ibu bapa melihat kejayaan anak-anak dalam peperiksaan tersebut.Sebaik-baik sahaja keputusan UPSR diumumkan, satu majlis pengumuman
diadakan di kebanyakan sekolah. Rakan-rakan penulis yang merupakan
guru-guru sekolah rendah memberitahu kebiasaannya sambutan diadakan
untuk meraikan para pelajar yang mencatatkan keputusan 5A.Para pelajar ini akan dijemput ke pentas bersama-sama ibu bapa
masing-masing. Mereka diraikan oleh pengurusan sekolah dan guru sebagai
'wira' yang mengharumkan nama sekolah dan keluarga. Namun, bagaimana
dengan pelajar yang tidak mendapat 5A? Adakah mereka juga diraikan dalam
majlis tersebut?
Para pelajar yang 'gagal' mencatatkan keputusan cemerlang tidak
mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak sekolah dan guru. Mereka
dilayan seolah-olah telah 'mencemarkan' nama baik sekolah sedangkan pada
hakikatnya ia tidak begitu.Bagaimana pula dengan reaksi ibu bapa mereka? Adakah wajar ibu bapa
dan anak-anak ini 'dianaktirikan' dalam majlis tersebut? Apa akan jadi
kepada motivasi mereka pada tahun berikutnya di sekolah menengah?Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa ia akan menjadi pemangkin
semangat untuk mereka berjaya pada masa hadapan, sedikit sebanyak ia
akan meninggalkan bekas di hati mereka. Penulis berpendirian semua
pelajar perlu diraikan pada hari tersebut. Dalam hal ini, pihak sekolah
seharusnya memainkan peranan dengan baik. Jemputlah mereka sama-sama ke
pentas atau setidak-tidaknya bergambarlah bersama-sama mereka.Semua pelajar sama ada yang cemerlang ataupun tidak adalah generasi
masa depan yang akan mewarisi negara pada masa akan datang. Kegagalan
mereka pada hari ini tidak perlu dijadikan ukuran bahawa harapan untuk
mereka berjaya dalam hidup telah musnah.
Banyak sudah contoh di luar sana yang menunjukkan bahawa UPSR
bukanlah penentu berjaya atau tidak seseorang dalam hidup. Penulis
sendiri mencatatkan keputusan sangat tidak memuaskan dalam peperiksaan
UPSR. Namun, berkat semangat tidak putus asa dan terus berusaha
bersungguh-sungguh, penulis berjaya mencatatkan keputusan yang cemerlang
semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya menjejakkan kaki ke
menara gading.Begitu juga cerita usahawan korporat yang berjaya, iaitu Tan Sri Syed
Mokhtar Al-Bukhari yang berjaya membuktikan bahawa kejayaan dalam
peperiksaan bukan satu-satunya faktor penentu kecemerlangan seseorang.Banyak lagi cerita tentang tokoh-tokoh korporat yang berjaya walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.Sambutan yang agak berat sebelah dibimbangi akan melemahkan semangat
pelajar dan juga ibu bapa mereka. Sudah pasti ada ibu bapa yang berkecil
hati jika pengurusan sekolah dan guru hanya memandang anak mereka
dengan sebelah mata. Mereka pasti akan berasa tertekan. Lebih malang
apabila anak-anak dimarahinya pula.
Justeru, pihak sekolah harus memikirkan semula kewajaran sambutan
meraikan keputusan UPSR di sekolah masing-masing. Raikan mereka yang
berjaya tetapi jangan ditinggal mereka yang kurang berjaya. Hadirkan
juga mereka dalam majlis sambutan tersebut.Bagi ibu bapa pula, kejayaan anak-anak dalam UPSR bukanlah
satu-satunya indeks pencapaian kecemerlangan dalam pendidikan anak-anak.
Banyak lagi aspek yang harus diberi perhatian.Tiada makna jika dalam UPSR anak mencatat 5A, namun dalam aspek
kehidupan lain anak-anak gagal mencatatkan keputusan cemerlang.
Sama-sama kita menilai sama ada anak-anak turut mencatatkan A dalam
solatnya, puasanya, akhlaknya, rasa hormatnya kepada ibu bapa dan orang
yang lebih tua dan budi bahasanya. Kelima-lima perkara ini harus
dijadikan indeks bagi mengukur kecemerlangan anak-anak.Anak-anak yang cemerlang yang mendapat skor 5A untuk solat, puasa,
akhlak, rasa hormat dan budi bahasanya adalah anak yang cemerlang.
Anak-anak yang tidak mendapat keputusan 5A dalam perkara tersebut, wajar
diberi perhatian serius oleh ibu bapa.
Ingatlah pepatah Melayu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.
Apabila rebung telah menjadi buluh, amat susah untuk dilenturkan. Jadi,
didiklah anak berjaya dalam peperiksaan tanpa melupakan anak-anak juga
harus berjaya dalam kehidupan.Pihak sekolah dan ibu bapa harus memainkan peranan dalam mendidik
generasi muda Malaysia untuk membawa negara ini ke satu tahap yang lebih
baik pada masa akan datang.
Majlis sambutan meraikan kejayaan murid dalam UPSR wajar dikaji
semula. Sambutan yang diadakan janganlah sampai mendatangkan rasa kecil
hati bagi pelajar dan ibu bapa yang tidak berjaya mencatatkan keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.Bagi ibu bapa pula, ingatlah bahawa anak-anak bukannya mesin
peperiksaan. Kejayaan mereka tidak harus dilihat dalam satu aspek
sahaja. Aspek-aspek lain seperti solat, puasa dan akhlak juga perlu
dijadikan indeks pengukuran kejayaan mereka. Seimbangkanlah antara
kejayaan di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan