19 Februari 2014

Banyaknya buku teks

Kurangkan beban bawa buku





APABILA bercakap tentang buku teks ketika di alam persekolahan, pasti setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada sengaja meninggalkannya di rumah atau terpaksa berhempas-pulas mengangkat beg yang berat. Bayangkan, hampir kesemua mata pelajaran mempunyai buku teks dengan purata dua jenis setiap satu subjek. Disebabkan itu, ramai yang mengambil pendekatan berbeza bagi mengurangkan mengendong ‘beban’ itu.“Pada kebiasaannya, saya akan berkongsi bersama rakan yang duduk bersebelahan. Contohnya, jika saya membawa buku teks Sejarah, dia akan membawa buku Matematik,” ujar Nur Dania Arifah Mohd. Rashidi, 17.

Dia menambah, langkah ‘bijak’ itu terpaksa diambil memandangkan dalam sehari, sebanyak enam ke tujuh buah buku yang akan dibawa mengikut jadual sekolah harian.“Ia belum lagi ditambah buku-buku latihan yang akan digunakan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun in,” tambah gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Cheras, Kuala Lumpur itu. Namun, situasi itu bakal berubah melalui pengenalan buku teks digital yang dilancarkan di bawah Kementerian Pendidikan baru-baru ini.Inovasi baharu Inovasi baharu dunia pendidikan itu memberi satu anjakan positif kepada guru dan pelajar yang dilihat membantu sistem pengajaran dengan lebih efektif.Buku teks digital tersebut merupakan versi elektronik buku bercetak yang boleh diakses secara dalam talian. Ia mengandungi teks dan grafik serta mempunyai ciri flip seperti buku teks bercetak.Menurut Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan, Abdul Ghani Mohamad Niza, ia adalah lanjutan daripada penggunaan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) 1BestariNet yang diperkenalkan pada tahun 2012.


PARA pelajar membawa beg sekolah berat bakal menjadi sejarah apabila pengenalan buku teks digital diperkenalkan di sekolah-sekolah.



“Sehubungan itu, kementerian berusaha supaya buku-buku teks dapat dimuat naik ke VLE. Melalui usaha itu, pelajar boleh mengakses buku teks secara maya selain terus menggunakan buku teks bercetak,” ujarnya ketika ditemui Infiniti di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. Dia menambah, pada peringkat awal, bahan buku teks bercetak didigitalkan dalam format Electronik Publishing 2 (ePub2) dan seterusnya dimuat naik ke platform VLE. “Dengan adanya buku teks digital ini, pelajar dan guru yang telah dibekalkan dengan kata laluan akan dapat mengakses buku teks melalui internet pada bila-bila masa,” jelas Abdul Ghani. Sebanyak 300 judul buku teks bercetak telah didigitalkan mengikut tindakan gelombang pertama di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menyambut baik pembaharuan itu, guru subjek Teknologi Maklumat (IT) dan Matematik, Norhaniza Abd. Jamil, 35, berpendapat, pengenalan buku teks digital memudahkan proses pengajaran guru kerana ia lebih interaktif dan menarik.“Buku teks biasa yang statik kadangkala membuatkan pelajar mudah hilang tumpuan. Pendigitalan tersebut sedikit sebanyak memudahkan pemahaman pelajar malah lebih cepat dan pantas,” ujarnya yang mengajar di SMK Cheras.Dia menambah, menggunakan buku teks digital menerusi laman VLE memudahkan pelajar ketika membuat latihan ulang kaji kerana jawapan boleh diperoleh dengan cepat.
“Selain itu, animasi-animasi yang terdapat dalam pendigitalan itu juga membolehkan pelajar memahami subjek-subjek tertentu dengan lebih baik,” jelas Norhaniza yang berasal dari Kulim, Kedah.


PENGENALAN buku teks digital memudahkan proses pengajaran kerana ia lebih interaktif dan menarik.




Berkongsi pendapat yang sama, Norliza Borhan, 42, berkata pendigitalan buku teks adalah satu pembaharuan berinovatif.“Rugi jika kita tidak bergerak selari dengan kepesatan teknologi maklumat yang semakin meluas pada hari ini. Mereka sendiri sudah biasa menggunakan komputer, maka proses pembelajaran dan pengajaran akan lebih menarik,” ujarnya yang turut mengajar subjek IT dan Matematik.
Berdasarkan Laporan Ciri-Ciri Pendidikan dan Sosial Penduduk 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar celik komputer bagi penduduk warganegara Malaysia berumur lima hingga 69 tahun di semua negeri telah mencapai lebih daripada 45 peratus. Kepekaan dalam bidang ICT itu memyebabkan generasi muda lebih peka dengan kemunculan teknologi-teknologi baharu. Pendedahan pada usia yang muda membolehkan pelajar menggunakan komputer tanpa sebarang masalah.

“Saya sendiri tahu menggunakan komputer pada usia tujuh tahun. Melalui pengenalan buku teks digital itu, cara pembelajaran saya turut berubah ke arah yang lebih baik,” ujar pelajar tingkatan lima, Tsen Wen Liang, 18.Tambah pelajar dari Cheras, Kuala Lumpur itu, walaupun baru diperkenalkan, cara penggunaannya tidak terlalu rumit kerana ia disediakan dalam Platform VLE yang telah digunakan sejak dua tahun lepas.Beberapa negara telah beralih kepada penggunaan buku teks digital untuk digunakan dalam sektor pendidikan umum. Antaranya, Korea Selatan, Poland dan Singapura.Korea Selatan telah merencana transformasi sistem pendidikan ke arah pendigitalan sejak lima tahun lepas. Penggunaan buku teks digital baharu itu akan dirintis oleh 150 sekolah rendah dan 300 sekolah menengah.


PELAJAR boleh mengakses pembelajaran mereka menggunakan peranti mudah alih.



Masalah
Namun, pakar bidang pendidikan di negara yang mempunyai sambungan internet antara terlaju di dunia itu, menyatakan pendigitalan buku sekolah membawa kepada beberapa masalah.Mereka berpendapat, ia akan menyebabkan kebergantungan melampau generasi muda terhadap gajet dan teknologi baharu.Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan mendapati, satu daripada 12 pelajar berumur lima hingga sembilan tahun terdedah kepada ketagihan internet.Mengulas situasi itu, pengetua SMK Cheras, Juahir Mondakir berkata, pihak kementerian sudah semestinya telah mengambil kira perkara tersebut sebelum pelaksanaan ke seluruh sekolah awam.“Contohnya, sambungan internet yang terhad untuk ke laman-laman web bersesuaian. Disebabkan itu, pelajar tidak boleh melayari internet untuk memasuki laman sosial dan berkaitan,” ujarnya.