02 Oktober 2017

E-Sukan plakkk dahhh .........edisi "My Anak"


Alkisah anak aku awal tahun tu hari mimpi apa tah anak aku nak masuk satu pertandingan ni yang mana akupun dok ingat apa main game secara online nih ........ anak aku memang cukup sakit hati kalo aku halang dia dari guna laptop dirumah untuk main game...dan kali ini dia menyahut cabaran aku utk masuk pertandingan game on-line .........aku memula baca sekali imbas aje jenis perlawanan online ni ...laki aku plakkk beriya dok daftar anak dia untuk masuk perlawanan tuh .....kegilaan apakah zaman sekarang ni sampai ketahap macam ni kalo masuk pertandingan memhafaz alquran tuh seronok gak aku dengar ....ini tak perlawanan entah apa-apa tapi tak apa lah try dulu tengok apa jadi ..........firstime anak mula join game ni aku memang tak berkenan sangat tapi kalo dia sanggup janji gan aku yg dia tak abaikan kerja sekolah dah cukup kalo tidak memang laptop memang aku soran bawah tilam ............dia bukan tahu pun aku sorok tilam bawah tilam !!!!!!!! ok kali ini aku nak korang yang kat luar sana tuh baca dari mukasurat pertama sampai habis (jangan baca sikit aje lepas tu korang scroll kebawah terus) .........JOM kita baca apa yang dikata E- SUKAN

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Ini ialah satu permainan video FIFA yang amat terkenal sekarang  yang memerlukan pergerakan jari pada panel kawalan konsol PlayStation 4 (PS4) selari dengan strategi yang dipasang dan seterusnya membolehkan dia memenangi perlawanan tersebut.
“Permainan FIFA ini merupakan permainan perlawanan bola sepak yang dimainkan secara dalam talian. “Walaupun daripada pandangan­ mata kasar umum melihatnya sebagai satu permainan video biasa, namun ia sebenarnya merupakan salah satu sukan yang dikenali sebagai e-sukan.
“Bagaimanapun, apa yang membezakan sukan sebenar de­ngan e-sukan adalah perlawanan atau permainan ini dilakukan menerusi alam maya dan tidak secara berhadapan dengan pesaingnya seperti yang biasa kita tonton di padang bola,” jelasnya.
E-sukan atau lebih ter­kenal dengan istilah sukan bertemakan permainan video telah diperkenalkan di Korea Selatan sejak sedekad lalu.
Pada mulanya, e-sukan diadakan sebagai aktiviti suka-suka bagi mengisi waktu lapang individu sahaja. Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, ia mula mendapat sambutan ramai terutamanya bagi generasi muda hingga ia kemudian diangkat sebagai salah satu bentuk sukan di beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Lazimnya, e-sukan dimainkan menggunakan komputer peribadi, konsol PS4 atau Xbox 360 yang memiliki akses internet.
Menariknya mengenai e-sukan adalah selain menggunakan pergerakan fizikal, individu yang melibatkan diri dalam permainan tersebut juga perlu menggunakan keupayaan minda dengan mengatur strategi permainan.
Malah, pergerakan jari yang pantas dan kecekapan mata dalam menangkap imej pada paparan skrin amat diperlukan dalam setiap perlawanan.


E-SUKAN dipercayai bakal menjadi salah satu acara dalam temasya Sukan Olimpik Paris pada tahun 2024.



Latihan intensif

Cerita Amtuah, dia mula melibatkan diri dalam e-sukan sejak berumur lapan tahun lagi. Bagaimanapun pada waktu itu, dia menjadikan e-sukan sebagai permainan pada waktu lapang sahaja.
“Sebenarnya, dahulu saya lebih aktif dalam sukan bola sepak di padang dan pernah terpilih untuk mewakili pasukan Piala Presiden Selangor.
“Bagaimanapun, disebabkan pada waktu itu mengalami kece­deraan serius, saya tidak dibenarkan bermain. Perkara tersebut menyebabkan saya mula beralih kepada e-sukan dengan menjadikan FIFA sebagai permainan ke­gemaran.
“Walaupun tidak menggunakan pergerakan badan sepenuhnya, namun perlawanan tersebut sama sahaja seperti bermain bola sepak yang sebenar. Malah menerusi e-sukan ini juga, saya berjaya memasuki pertandingan di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Menurut lelaki yang bekerja sebagai pengurus kewangan di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur ini lagi, sepanjang empat tahun melibatkan diri secara serius dalam e-sukan, dia telah menyertai lebih 60 pertandingan.
Lebih membanggakan apabila Amtuah berjaya menjuarai 29 daripada 60 perlawanan yang disertainya dan membawa pulang hadiah wang tunai lebih RM100,000.
“Sebenarnya menjadi pemain e-sukan sama sahaja seperti pemain-pemain sukan seperti bola sepak, bola keranjang ataupun bola tampar yang lain.
“Ini kerana, kami juga memasuki perlawanan dengan pemain dari negara-negara luar dan perlu menjalani latihan intensif bagi memantapkan kemahiran yang ada.
“Selain terikat dengan rejim diet yang sihat, kami juga memerlukan tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya lapan jam sehari bagi memastikan mental dan fizikal sentiasa cergas dan bersedia untuk berentap,” jelasnya.
Tambah Amtuah lagi, walaupun kebanyakan individu beranggapan permainan e-sukan hanya memerlukan pemain berada di hadapan skrin komputer atau televisyen sahaja, namun tanpa mereka sedari, permainan tersebut sebenarnya memerlukan disiplin yang tinggi.
“Setiap seorang daripada kami terutamanya yang bertanding ke mana-mana pertandingan selalunya perlu patuh pada jadual yang dibuat.
“Antaranya mencukupkan waktu latihan harian iaitu sekurang-kurangnya lapan jam sehari selain menjalani latihan kecerdasan di gimnasium dua kali se­minggu.
“Dari segi pemakanan pula, kami perlu melebihkan pengambilan protein dan meminimumkan makanan berasaskan karbohidrat kerana ia akan menyebabkan badan mudah letih dan seterusnya mengganggu fokus terhadap perlawanan,” jelasnya.
E-SUKAN memerlukan individu untuk bijak merancang strategi.


Berlainan pula bagi Loo Kah Yew, 16, apabila mula melibatkan diri dalam arena e-sukan selepas menerima ajakan daripada rakan sebaya.
Walaupun pada awalnya beliau me­ngakui mendapat bantahan daripada keluarga, bagaimanapun, kejayaannya melayakkan diri untuk menyertai International E-Sport Federation di Korea Selatan mula mengubah pendirian keluarganya.
Ternyata, minatnya dalam bidang e-sukan bukanlah satu perkara yang sia-sia kerana pada usia yang muda, e-sukan berjaya membawanya hingga ke pentas antarabangsa.
Kelayakan tersebut lantas menjadikan Kah Yew untuk mewakili negara bertanding di peringkat dunia dengan negara-negara lain.
Melihatkan populariti e-sukan dalam kalangan generasi muda kini semakin meningkat, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Malaysia, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, sambutan yang memberangsangkan di negara ini menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan e-sukan di negara ini.
Selain memberi panduan dan bim­bingan kepada golongan muda, kewujudan persatuan tersebut secara tidak langsung membolehkan golongan tersebut mengetengahkan bakat mereka pada saluran yang betul.
“Saya lihat generasi hari ini begitu meminati permainan video. Buktinya, berdasarkan kajian yang dilakukan, lebih kurang 16.7 juta penduduk di negara ini dipercayai bermain dengan permainan video.
“Walaupun saya akui e-sukan sebelum ini se­ring dipandang negatif oleh masyarakat, namun kewujudan persatuan ini sedikit sebanyak berjaya mengubah stigma mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, satu kursus khas mengenai e-sukan juga ditawarkan kepada orang ramai di Universiti Asia Pasifik (APU) sejak awal Mei lalu.
Menurut Setiausaha Agung persatuan itu yang juga merupakan pensyarah akademi e-sukan APU, Rinie Ramlie, kewujudan kursus tersebut sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini yang menawarkan pengajian berteraskan e-sukan.
“Walaupun masih baru, namun ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada setiap lapisan umur apabila lebih 50 orang mendaftar menyertai kurus ini.
“Menerusi kursus ini, kami mengajar kesemua pelajar teknik-teknik bermain de­ngan betul dan menggilap bakat pemain-pemain supaya mereka boleh bermain secara profesional,” jelasnya.
Setakat ini, pihaknya menawarkan kursus empat jenis permainan iaitu DOTA, FIFA, Counter Strike dan League Of Legends.
Tambah Ranie, kursus pendek selama sembilan bulan itu juga mampu mematangkan tahap permainan individu dalam e-sukan.


Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan: