16 Oktober 2013

Info utk mereka yg ada anak remaja ...

  Fahami emosi, sikap anak

ALAM remaja menimbulkan seribu satu persoalan bagi kanak-kanak yang baru melangkah ke dunia baru ini. Dalam usia yang masih muda serta masih belum ada arah tuju membuatkan mereka mudah terpengaruh dengan persekitaran terutama rakan sebaya. Justeru, tidak hairanlah semakin meningkat dewasa, anak lebih cenderung mengikut kata kawan berbanding ibu bapa sendiri.Ramai ibu bapa bertanya, apakah persediaan mental yang boleh dibekalkan kepada anak yang bakal memasuki alam remaja terutama yang baru hendak melangkah ke sekolah menengah tidak lama lagi? Jawapannya mungkin menjengkelkan. Bukan anak yang memerlukan persiapan mental, sebaliknya ibu bapa sendiri harus bersedia dengan perubahan alam baru yang dialami anak ini.Pensyarah Psikologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Khaidzir Ismail, berkata ibu bapa perlu memahami terlebih dulu perubahan emosi anak bagi memudahkan mereka berdepan dengan pelbagai kerenah si anak yang sedang meningkat remaja.

“Setiap individu melalui tiga alam iaitu alam kanak-kanak bermula daripada bayi sehingga usia 3 tahun. Pada masa ini, mereka bukan diri mereka sebenar. Kemudian mereka beralih ke alam remaja iaitu alam di mana anak mula mengenali diri sebenar. Seterusnya alam ketiga, alam pertengahan usia iaitu orang dewasa yang melalui alam tua,” katanya.Beliau berkata, alam kedua iaitu alam remaja biasanya menjadikan emosi mereka terumbang-ambing. Kajian psikologi mendapati ada perubahan berlaku yang memerlukan ibu bapa memahami kehendak psikologi anak ini.“Misalnya perubahan kepada kehendak seksual iaitu mula hendak berkawan dengan lelaki atau wanita. Pada usia ini juga keinginan untuk berseronok melebihi segala-galanya, Ini bukan sesuatu yang aneh bagi mereka dan ibu bapa tidak boleh menyalahkan anak seratus peratus,” katanya.

Beliau berkata, perubahan ini didorong oleh sistem saraf yang dikawal oleh hormon. Apabila anak meningkat remaja, ibu bapa tidak boleh menganggap anak cukup matang. Kematangan hanya berlaku apabila seseorang itu mencecah usia 24 tahun. Itu sebabnya remaja sering dilihat lebih suka melepak atau keluar bersama rakan untuk bersuka ria. “Pada masa ini, anak mudah tertekan apabila ibu bapa memaksa mereka untuk belajar sedangkan mereka lebih senang berseronok bersama rakan. Justeru, penting bagi ibu bapa memahami dan seterusnya mengawal keadaan ini. Ibu bapa yang tidak faham proses ini biasanya akan menghantar anak menyertai kem motivasi sedangkan itu hanyalah membuang duit saja. Pada masa ini, anak berfikir panjang dan tidak takut kepada risiko,” katanya.Dr Khaidzir berkata, kalau diperhatikan, ibu bapa sering merungut terpaksa mengingatkan anak berpuluh kali tetapi kesilapan sama tetap berulang. Ini kerana, bagi remaja ibu bapa sudah tidak penting lagi berbanding rakan sebaya. Mereka sebenarnya masih mencari-cari identiti sebenar,” katanya.

Beliau mengingatkan ibu bapa bahawa sebelum anak lebih suka mendengar kata rakan sebaya, ibu bapa harus mendekati mereka dengan lebih rapat bermula dari kecil lagi. Hubungan yang terbina sejak kecil ini menjadi tembok yang menghalang mereka daripada mudah terpengaruh dengan unsur luar yang negatif.“Sebaik saja anak pergi menemui rakannya, kepentingan kepada ibu bapa sudah tiada lagi. Justeru, ibu bapa perlu berusaha memastikan tiada jurang yang boleh membenarkan unsur luar mempengaruhi anak.
“Sebagai ibu bapa, apa salahnya menghabiskan paling kurang RM200 semata-mata untuk bersama anak daripada menghabiskannya dengan menghantar mereka ke kem motivasi yang sebenarnya tidak disukai mereka? Sebelum hantar anak ke kem motivasi, ibu bapa sebenarnya terlebih dulu perlu mendapatkan motivasi untuk mendidik anak remaja,” katanya.

Berbanding remaja lelaki, katanya, remaja perempuan matang lebih awal. Anak perempuan biasanya cenderung kepada kecantikan dan lebih menitik beratkan imej tubuh. Perasaan seperti kurang cantik, gemuk, hitam dan sebagainya membuatkan mereka mudah dipengaruhi unsur tidak diingini akibat kurang menghargai diri sendiri.Kajian mendapati daripada 5,000 kes gejala sosial remaja, 1,000 daripadanya membabitkan remaja perempuan yang biasanya datang daripada keluarga kucar kacir seperti ibu bapa bercerai atau suasana pembesaran kurang sesuai. Katanya, ada juga yang datang daripada keluarga teratur tetapi ibu bapa tiada masa untuk mereka melainkan sibuk bekerja setiap hari. “Tekanan dan perubahan emosi yang tidak menentu menyebabkan mereka mudah menunjukkan tingkah laku agresif seperti melawan cikgu, mengikut teman lelaki berlumba haram, ponteng sekolah dan sebagainya.

“Jati diri yang lemah serta memiliki sifat asertif dari segi komunikasi menjadikan mereka tidak berdaya menolak pelawaan kepada perbuatan kurang sihat seperti merokok, dadah dan sebagainya. Justeru, jati diri perlu dipupuk sedari kecil. Pelajar yang lemah dari segi akademik juga mudah terjebak dengan gejala kurang sihat akibat perasaan rendah diri dan berasa tidak dihargai,” katanya.Justeru beliau berkata, modal insan adalah perkara yang perlu dititik beratkan bermula daripada ibu bapa sendiri. Ia lebih penting daripada menekankan akademik semata mata mahupun perkembangan teknologi yang canggih abad ini.

FAKTA NOMBOR: Gejala sosial

  • 5,000 - Kes
  • 1,000 - Remaja kebanyakannya perempuan
  • 3 - Peringkat pembesaran anak
  • Tiada ulasan: