25 Ogos 2014

Penting Sangat ke sarapan pagi ????

"Jom baca pasal pentingnya sarapan pagi untuk mana-mana mak yang malas nak menyiapkan sarapan untuk anak setiap pagi" ....sila baca sampai habis jangan baca sekerat jalan !!!! okeh ....jangan malas nak bangun pagi nak siapkan sarapan pagi untuk anak ...nak tahu kenapa ???? baca lah sampai habis ....

 

Sarapan Pagi : Jangan Diremehkan

Sarapan pagi adalah suatu perkara yang sepatutnya dijadikan kelaziman pada setiap hari. Ia merupakan satu kemestian yang tidak boleh dipandang enteng. Pengambilan sarapan pagi akan membekalkan tenaga agar dapat menjalankan segala aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif.
Barangkali ramai di antara kita yang tidak menyedari akan kepentingan sarapan pagi kepada kesihatan tubuh badan. Memulakan hari dengan mengalaskan perut adalah penting bagi membantu seseorang itu cergas, berfikir dengan cerdas, aktif dan menjadi penentu kepada suasana sepanjang hari tersebut. Makanan sebagai pemula itu akan menjadi penjana tenaga untuk kegiatan seseorang sepanjang hari.
Apabila kita bangun daripada tidur, aras glukosa dalam darah agak rendah. Jadi, dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan pagi akan membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari dengan cergas.
Oleh itu, saranan kerajaan agar pihak sekolah mewujudkan waktu rehat yang fleksibel bagi murid-murid yang menghadapi masalah tidak sempat untuk bersarapan harus disusuli dengan tindakan yang bijak. Ia dilihat sebagai satu langkah yang tepat jika diberi perhatian oleh pihak sekolah kerana membolehkan pelajar dapat makan dan mengisi perut untuk meneruskan sesi pembelajaran seterusnya. Melihat senario pada hari ini, kekangan waktu dan ketidaksempatan para ibu bapa untuk menguruskan sarapan pagi anak-anak ke sekolah memerlukan waktu rehat persekolahan yang lebih awal. Ini dapat memudahkan lagi para pelajar mengambil sarapan pagi sebagai pemula pada hari tersebut dan meningkatkan lagi keupayaan fizikal dan mental untuk pembelajaran.
Ini kerana, badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana tenaga. Glukosa pula dapat diperolehi daripada makanan yang kita makan. Jika bekalan glukosa ke otak mencukupi, ia membuatkan seseorang cerdas, cergas dan aktif. Tetapi jika glukosa tidak mencukupi dalam badan, maka seseorang akan menjadi tidak aktif, otak mudah letih, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti seharian dengan jayanya.
Jadi tidak hairanlah jika kanak-kanak sekolah yang tidak sempat bersarapan akan menjadi kurang aktif berbanding yang bersarapan. Situasi inilah yang berlaku kepada kanak-kanak di Malaysia pada hari ini di mana satu daripada tiga kanak-kanak sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong. Disebabkan kesibukan dan kesuntukan masa ibu bapa pada sebelah pagi akhirnya anak-anak menjadi mangsa tidak sempat untuk bersarapan. Tidak mustahil, ia juga akan menjejaskan mutu pembelajaran mereka di sekolah. Oleh itu, para ibu bapa, cuba tanya diri anda, adakah anda bersarapan pagi setiap hari dan adakah anda telah mengabaikan anak-anak untuk bersarapan pagi sebelum memulakan pelajaran di sekolah? Ayuh, mulakan perubahan tabiat untuk bersarapan pada waktu persekolahan baru bermula ini agar ia menjadi satu kebiasaan untuk hari-hari yang seterusnya.
Kaitan sarapan pagi dengan kesihatan badan tidak dapat dinafikan kepentingannya. Ia bukan sekadar momokan untuk mengisi perut tetapi sarapan pagi juga terbukti untuk mengurangkan berat badan seseorang. Satu kajian dalam Jurnal Penyelidikan Obesiti mendapati bahawa sebanyak 78 peratus daripada responden telah berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan hasil daripada pengambilan sarapan pagi secara berterusan.
Justeru itu, sarapan pagi bukan sekadar untuk menambahkan tenaga tetapi juga dapat menimbulkan "mood" yang baik, menghasilkan sikap yang positif, mental yang baik dan juga membantu untuk seseorang yang menjaga penampilan badan.
Sarapan pagi tidak dapat digantikan dengan makan tengah hari. Oleh itu cuba usahakan juga mencari waktu untuk bersarapan pagi walaupun hanya dengan segelas susu. Makan lebih pada waktu tengah hari juga tidak dapat menggantikan keistimewaan bagi yang bersarapan pagi. Ini kerana tabiat ini juga akan menimbulkan masalah kesihatan. Tidak mengambil makanan pada waktu pagi bermakna seseorang telah "skip meal" yang menyebabkan kecenderungan makan lebih banyak selepas itu. Ini disebabkan tahap kelaparan yang tinggi akibat tidak mengambil sebarang makanan pada waktu sebelumnya menyumbang kepada makan lebih banyak karbohidrat yang dapat memberikan tenaga. Situasi inilah yang menyebabkan seseorang mengambil kalori yang berlebihan dan akhirnya menyumbang kepada masalah obesiti.
Tidak mengambil sarapan pagi tidak akan bermakna seseorang akan menjadi langsing. Ada segelintir berpendapat bahawa sarapan pagi hanya akan menyebabkan gemuk. Tanggapan picisan ini menyebabkan mereka tidak mengambil sarapan pagi. Mereka telah membuat kesilapan yang besar kerana menganggap pengambilan makanan pada waktu sarapan pagi akan menyebabkan peningkatan dalam pengambilan kalori. Tetapi hakikatnya, sarapan pagi dapat mengelakkan seseorang makan berlebihan apabila tiba waktu makan tengahari.
Pada hari ini, barangkali ramai di antara kita yang tidak mengambil sarapan pagi kerana membuat alasan waktu yang terhad dan menganggapnya ia tidak penting. Memperuntukkan waktu untuk bersarapan adalah kunci utama kepada permulaan hari yang baik dan kehidupan yang sihat. Maka, pemilihan makanan untuk bersarapan juga perlu dititikberatkan. Penyediaan makanan untuk bersarapan pagi seharusnya tidak menjadi penghalang. Ini kerana penyediaan hidangan yang ringkas dapat membantu seseorang yang kesuntukan masa.
Jika dilihat pada hari ini, masyarakat Malaysia seolah-oleh menjadikan budaya bersarapan pagi dengan nasi lemak, roti canai dan teh tarik. Ia mungkin tidak mendatangkan masalah jika diambil sekali sekala sebagai pengubah selera tetapi perlu dielakkan jika ia dijadikan satu hidangan wajib pada setiap hari. Ini kerana bersarapan hanya untuk mencetuskan tenaga dan cukup ia sekadar dengan hidangan ringkas yang pelbagai pada setiap hari. Bijirin sarapan dengan susu, atau ditambah dengan buah amat senang untuk disediakan tetapi ia cukup mendatangkan manfaat bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Islam menyarankan umatnya agar bersahur apabila hendak berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Bagi yang berpuasa, bersahur ibarat mengambil sarapan pagi. Justeru, amalan ini bukan hanya mendatangkan manfaat kepada kesihatan malah ia juga digalakkan dalam Islam. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban; "Bersahurlah kamu walau dengan seteguk air". Akhirnya manfaat itu akan kembali kepada pengamalnya sendiri. Oleh itu, jangan dipandang remeh waktu bersarapan pagi walau sekadar segelas minuman yang digemari dan sekeping roti juga mampu memberi perubahan yang ketara. Cuba jadikan tabiat bersarapan pagi yang sihat sebagai azam pada tahun baru ini, semoga ia terus menjadi satu amalan yang akhirnya menyumbang kepada kesihatan dan keabdian diri kepada Pencipta.
 
Saya memang jenis rajin bagun pagi sediakan sarapan pagi untuk anak ....... dan paling anak saya suka ialah roti dan perbagai-bagai jenis roti yang sama waktu dengannya yg di sapu dengan jem atau mayonis .......

......dan yang pasti air milo secawan