"The Real Malay" : Perihal Orang Melayu menurut Frank Swettenham
Oleh : Harith Faruqi Sidek
Dalam karya beliau yang terkenal, " Malay
Sketches", Frank Swettenham telah memberi gambaran tentang orang melayu
dizamannya
mengikut perspektif dan pengalaman peribadi beliau mungkin sejak tahun
1871,iaitu kali pertama beliau berada di Tanah Melayu. Pandangan
Swettenham tentang orang melayu ini menjadi bicara utama dalam bab
pertama
naskah beliau, bab tersebut diberi tajuk " The Real Malay". Naskah
" Malay Sketches" in dihasilkan pada tahun 1895, maka boleh
disimpulkan bahawa orang melayu yang digambarkan dalam naskah ini adalah
hasil
pengalaman beliau hidup dalam alam melayu selama 24 tahun.
Swettenham memulakan bab ini dengan menganjurkan bahawa
untuk memahami orang melayu, seseorang itu perlu tinggal di Tanah
Melayu,
bertutur bahasa melayu, hormat adat dan budaya orang melayu, meminati
apa yang
diminati oleh orang melayu, tahu gurau senda orang melayu, sedia
membantu
mereka tika dalam kesusahan serta berkongsi suka dan duka mereka. Jika
semua
ini berjaya dilakukan, maka nescaya seseorang itu telah berjaya
memenangi hati
serta kepercayaan dari orang melayu. Malah Swettenham ini mampu
berbahasa melayu dengan baik, hinggakan beliau mampu menghasilkan kamus
"Vocabulary of the English and Malay language", selain daripada itu,
Swettenham juga dikenang sebagai diantara 40 orang bekas pegawai tinggi
British yang menentang pengenalan "Malayan Union".
Bentuk Fizikal Orang Melayu
Orang melayu mengikut Swettenham, mempunyai susuk badan yang rendah
tapi sasa, berambut hitam lurus dengan kulit sawo matang serta berhidung
kembang dengan bibir yang tebal. Orang melayu juga digambarkan mempunyai mata
yang terang.
Keperibadian Orang Melayu
Orang Melayu pada amnya bersopan santun, beradab serta
peramah. Namun begitu, orang melayu tidak
sewenangnya mempercayai orang asing, malah bijak menyembunyikan kesangsian
mereka dengan perawakan yang ramah. Swettenham juga menggambarkan orang melayu
bijak berbicara, susun kata mereka disulami dengan jenaka malah amat gemar
berseloroh. Orang melayu sangat cermat dan “terang
hati” dalam menerima pelajaran.
Malah jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu
menghasilkan sesuatu yang lebih daripada apa yang mereka pelajari.
Dari sudut kebersihan diri, kebanyakkan orang melayu zaman itu mandi
sekurang-kurangnya dua
kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga
mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh
bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah
demi
menentang fitnah tersebut. Swettenham turut menyebut tentang sikap orang
melayu yang memuliakan tetamu, ianya seakan satu kewajipan bagi orang
melayu, tidak kira tinggi atau rendah darjat mereka, kaya atau miskin
kehidupan
mereka.Orang melayu mempunyai bakat bersukan, malah binatang
sebesar gajah pun bisa ditangkap dan dijinakkan. Sebagai nelayan, orang melayu
sangat berkemahiran hinggakan bermalam diatas bot sudah menjadi kelaziman.
Keperibadian Perempuan Melayu
Swettenham melihat wanita melayu sebagai bijak bertutur, pandai mengambil
hati serta kuat berahsia. Wanita melayu juga peramah,
walaupun adakalanya kuat cemburu. Tatkala mencapai usia 40 tahun, mereka mula
memperlihatkan kecenderungan meminati barangan kemas dan pakaian yang cantik. Wanita
melayu yang dewasa juga menunjukkan citarasa mereka pada barangan mewah seperti
kenderaan ( khusunya Kuda ). Malangnya
citarasa pada kemewahan dan keindahan barangan ini tidak tergambar pada
kediaman mereka yang tidak teratur.
Hal ehwal berumahtangga
Orang melayu lelaki
yang kaya sering menggunakan kemampuan mereka dari segi kekayaan mahupun kekuasaan
sebagai alasan untuk berkahwin lebih dari seorang. Walau bagaimanapun, setelah mereka berkahwin empat,
lelaki melayu sering gagal menunaikan tanggungjawab mereka keatas para isteri mereka dengan seadilnya. Menurut
Swettenham lagi, orang melayu sangat bijak dalam berfalsafah dalam soal hal
ehwal rumahtangga.
Hidup Beragama
Orang melayu adalah muslim yang taat, malah sanggup diseksa
demi mempertahankan kesucian agama islam. Walaupun begitu, mereka dilihat tidak
terlalu taksub dalam beragama. Menurut Swettenham, orang melayu tidak minum minuman yang memabukkan serta
jarang sangat terlibat dengan aktiviti menghisap ganja, walaupun pada zaman itu
perbuatan menghisap ganja adalah sesuatu yang bisa dikalangan masyarakat biasa
dan para pemimpin. Swettenham juga mengakui, ketaatan orang melayu dalam beragama menyebabkan kebanyakkan mubaligh kristian
berputus ada dalam usaha mengkristiankan mereka pada zaman itu.
Sikap pada raja, bangsa dan Negara
Orang melayu dari kacamata Swettenham sangat bangga dan
sayangkan negeri dan bangsa mereka. Orang melayu juga sangat memelihara adat
dan budaya mereka, maka tidak hairanlah jika ada pepatah melayu “ Biar mati anak, jangan mati adat”. Orang melayu juga sangat taatkan raja dan pemimpin. Adat
memberi hadiah, sama ada dari raja kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah
sudah menjadi budaya. Tetapi budaya ini dilihat mulai terhakis, namun dalam
beberapa keraian, ianya masih diamalkan, seperti sewaktu istiadat pertabalan raja,
upacara pelantikan pegawai tinggi, majlis perkahwinan, majlis berkhatan, upacara tindik telinga dan acara lain
yang seumpamanya.
Sifat Buruk orang melayu
Dalam membicarakan perihal orang
melayu, Swettenham tidak mengambil sikap populis dengan hanya
menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap sisi
gelap masyarakat melayu pada zaman itu. Antara tabiat atau sifat buruk
orang melayu pada zaman itu yang beliau temui adalah:
1) Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat untuk membayar
balik
2) Orang melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga
dan mengumpat.
3) Suka mempercayai hal yang karut marut
4) Orang melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya
5) Tidak mudah menerima sebarang perubahan
6) Orang melayu adakalanya malas, malah perkara yang rutin
juga dilalaikan.
7) Orang melayu tidak menghargai masa
8) Rumah Orang melayu pada zaman itu dilihat tidak kemas, malah kotor
9) Orang melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak
dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada
berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau
muda.
10) Orang melayu suka mengamok
11) Walaupun orang melayu suka berbudi, mereka sebenarnya
mengharapkan balasan.
12) Orang melayu suka berpuak-puak
13) Orang melayu amat menitik beratkan soal darjat serta
keturunan, terutama dalam soal
perkahwinan.
Sikap buruk ini walaupun tidak enak dibaca, ianya harus menjadi
pengajaran kerana inilah apa yang dilihat oleh orang luar. Akan tetapi
mungkin telah ada diantara sikap buruk tersebut yang sudah pun terhakis
dari masyarakat melayu kini. Senarai "buruk" ini harus menjadi
pengajaran bagi orang melayu zaman mutakhir dalam meningkatkan sahsiah
mereka agar dipandang tinggi, jangan terlalu dibuai oleh syair dan
gurindam akan keindahan bangsa melayu, tetapi harus tegar memperbaiki
diri bila ditegur.
Khatimah
Namun apa yang digambarkan oleh Swettenham ini walau bagaimanapun terhad
kepada penilaian peribadi beliau selama 24 tahun mengenali masyarakat melayu
dan hanya masyarakat sekitar Singapura, Selangor dan Perak yang mungkin berada
dalam pemerhatian beliau. Padangan ini adalah berdasarkan tempoh beliau berada
di Tanah Melayu hingga naskah “Malay Sketches”
terhasil, iaitu pada tahun 1895. Sewaktu menghasilkan
naskah yang mengandungi 22 bab ini, umur Swettenham adalah pada sekitar
45
tahun dan masih berjawatan sebagai Residen British di Perak. Selain
naskah "Malay Sketches"ini, Swettenham turut menghasilkan beberapa
penulisan lain yang turut menceritakan perihal orang melayu.
Frank Athelstane Swettenham (1850 - 1946) |
Kulit hadapan naskah "Malay Sketches" karya Frank A. Swettenham |
Halaman Prakata oleh Swettenham, juga kelihatan tarikh naskah ini dihasilkan |
Bab "The Real Malay" yang dibicarakan dalam entri ini |
Naskah "Malay Sketches" yang telah didigitasi oleh University of California, naskah digital ini boleh dicapai melalui http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich |
Rujukan:
Swettenham A. Frank. 1895. Malay Sketches. London: John Lane.
Online Version, http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich
Encyclopedia of Malaysia. Frank Swettenham was one of some 40 former British empire officials who actually opposed the Malayan Union.at : http://malaysia.jbdirectory.com/Frank_Swettenham ( diakses pada 15 Julai 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan